PUTRAJAYA – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning memberi isyarat bahawa politik berbentuk populisme agresif yang sering kali menjadikan kaum dan agama sebagai alat kempen oleh pihak lawan semakin ditolak rakyat.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, stigma politik negatif bukan sahaja mengganggu keharmonian sosial, malah melambatkan proses pembinaan negara bangsa yang inklusif dan progresif.
Menurutnya, kemenangan BN bukan sekadar kejayaan taktikal namun mencerminkan isyarat yang lebih dalam bahawa masyarakat ketika ini muak terhadap politik berasaskan kebencian, perkauman, dan eksploitasi isu agama yang semakin menjadi-jadi dalam wacana politik nasional.
“BN berjaya mencapai kemenangan menunjukkan adanya kebangkitan kesedaran dalam kalangan pengundi, terutamanya generasi muda, yang mula menilai semula bentuk politik yang mereka mahu warisi dan sokong.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, politik Malaysia telah dicemari dengan retorik yang memecahbelahkan rakyat, didorong oleh sentimen kaum dan agama demi kepentingan sempit sesetengah pihak.
“Namun, keputusan PRK ini dilihat sebagai penolakan terhadap naratif tersebut yang menjadi cerminan bahawa rakyat, khususnya anak muda semakin matang dan selektif dalam memilih pemimpin,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin memaklumkan belia ketika ini tidak lagi mudah dipengaruhi oleh slogan-slogan ekstrem atau permainan persepsi yang menjurus kepada polarisasi masyarakat.
Sebaliknya, menurut beliau, golongan tersebut semakin cenderung untuk menyokong politik yang menawarkan kestabilan, kebolehpercayaan, dan penyelesaian konkrit kepada isu rakyat.
“Mereka mahukan politik yang menyatukan, bukan memecahbelahkan; politik yang menyelesaikan masalah, bukan menambah ketegangan; dan politik yang berasaskan harapan, bukan kebencian. Inilah cabaran sebenar bagi mana-mana parti yang ingin kekal relevan dalam era politik baharu Malaysia.
“Bagaimanapun, kemenangan di Ayer Kuning tidak boleh diangkat sebagai petunjuk mutlak perubahan landskap politik nasional. Ia masih bersifat lokal, dengan faktor seperti calon, jentera pilihan raya dan sentimen setempat memainkan peranan penting.
“Maka, cabaran sebenar bagi BN dan mana-mana parti politik adalah bagaimana untuk meneruskan momentum ini dalam skala lebih besar, sambil membina kepercayaan rakyat melalui dasar dan tindakan, bukan sekadar retorik pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Bendahari DAP Perak, Howard Lee Chuan How berkata, kemenangan BN merupakan satu penolakan yang tegas oleh rakyat terhadap politik ekstrem etno-agama yang dimainkan oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN), yang bertujuan menabur ketakutan dan perpecahan.
Katanya, gabungan kolektif BN dan PH yang membentuk Kerajaan MADANI terbukti sebagai satu kekuatan yang mantap, yang seiring dengan aspirasi rakyat Malaysia yang majmuk dan harmoni.
“Ia mencerminkan sokongan kolektif rakyat Malaysia terhadap model pemerintahan yang mementingkan keterangkuman, kemajuan, serta saling menghormati antara semua komuniti.
“Pilihan yang dibuat oleh pengundi jelas membuktikan kepercayaan mereka terhadap visi Malaysia MADANI yang dipelopori oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Terdahulu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Pusat Penjumlahan Undi PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah pada jam 9.36 malam turut mengesahkan Ayer Kuning sebagai kubu kuat BN, kedudukan yang dikekalkan oleh gabungan itu sejak 1986.






