Kerajaan MADANI terus perkasakan negeri tanpa pilih kasih

KANGAR – Kerajaan Persekutuan tidak pernah memandang sebelah mata negeri pembangkang seperti Perlis, malah peruntukan disalurkan terus meningkat saban tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI terus memberi peruntukan langsung dan pembangunan yang semakin meningkat demi kebajikan rakyat di setiap negeri.

Beliau berkata, pemberian langsung Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri telah meningkat daripada RM168.4 juta pada tahun 2022 kepada RM182.3 juta pada 2023, dan seterusnya RM210.6 juta pada tahun 2024.

“Ini menunjukkan kenaikan keseluruhan sebanyak 25 peratus dalam tempoh tiga tahun, bukti komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan semua negeri termasuk Perlis terus mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI di Kuala Perlis di sini hari ini.

Selain itu, Anwar turut memaklumkan Peruntukan Pembangunan (DE) khusus untuk negeri Perlis turut mencatatkan peningkatan ketara, iaitu daripada RM391.91 juta pada tahun 2022 kepada RM596.82 juta pada 2023, dan meningkat lagi kepada RM645.58 juta pada tahun 2024.

“Ini merupakan lonjakan hampir 65 peratus yang jelas menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan Perlis walaupun ia ditadbir oleh parti pembangkang,” katanya.

Berhubung cabaran kos sara hidup, Anwar berkata, kerajaan juga telah menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion.

Katanya, peningkatan itu membolehkan jumlah penerima manfaat bertambah daripada 700,000 pada tahun lalu kepada 5.4 juta orang bermula 1 April lalu.

“Melalui program ini, setiap isi rumah layak menerima bantuan sehingga RM100 sebulan, dikreditkan terus ke dalam MyKad untuk dibelanjakan di kedai runcit terpilih,” katanya.

Anwar berkata, negeri Perlis juga menerima limpahan manfaat dengan jumlah penerima SARA meningkat daripada 25,682 orang pada tahun 2024 kepada 62,292 orang setakat April 2025.

“Peningkatan hampir 2.5 kali ganda ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap semua rakyat tanpa mengira negeri,” katanya.

Menurut beliau, semua inisiatif ini dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang inklusif dan adil kepada semua.

Related Posts

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

KOTA KINABALU – Ketika kanak-kanak lain seusianya bebas bermain tanpa memikirkan apa-apa, satu kejadian ketika berusia empat tahun mengubah kehidupan Nurhadrieyana Paiman.‎‎Insiden tercucuk pensil menyebabkan penglihatan mata kirinya terjejas, sekali…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) bukan caj tambahan baharu atau sumber keuntungan syarikat, sebaliknya mekanisme dua hala bagi melaraskan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

Jika benar-benar kuat, UMNO perlu bertanding solo di Melaka – Tajuddin

Jika benar-benar kuat, UMNO perlu bertanding solo di Melaka – Tajuddin

Malaysia-Maldives perluas kerjasama pertahanan, hal ehwal Islam – PM

Malaysia-Maldives perluas kerjasama pertahanan, hal ehwal Islam – PM

Malaysia beri lampu hijau prinsip kemudahan AS$100 juta untuk Maldives – PM

Malaysia beri lampu hijau prinsip kemudahan AS$100 juta untuk Maldives – PM