
INANAM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa cakna terhadap kebajikan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang dilanda musibah.
Pada Jumaat, Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud menyerahkan sumbangan kepada seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah, Liyana Yatie Jasmin merupakan mangsa kebakaran di Kampung Tatahan, Inanam.
Mustapha menerusi hantarannya di laman Facebook menyatakan beliau turut berkesempatan menyantuni Liyana dan keluarga untuk memberikan sokongan moral.
Liyana merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, tahun akhir di Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlibat dalam bencana kebakaran pada Rabu lalu.
“Turut mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), saya menghulurkan sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
“Selain itu, bantuan kebajikan serta bakul makanan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), UMS juga diberikan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.
“Semoga segala bantuan yang disampaikan dapat meringankan beban dan menjadi inspirasi buat kita semua untuk terus menyemai semangat ihsan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan itu pada Jumaat.
Sehubungan itu, Mustapha turut mendoakan agar keluarga mangsa terus diberikan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan.





