
PERIKATAN Nasional (PN) yang dilihat ketandusan modal politik kini gigih untuk mengheret calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning supaya dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada sidang media hari ini, PN mengungkit peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Parlimen Tapah beberapa hari sebelum hari penamaan calon.
“PRK Ayer Kuning ini, sebanyak RM6.13 juta diumumkan oleh Menteri Nga Kor Ming untuk 33 projek di Parlimen Tapah hanya beberapa hari sebelum penamaan calon.
“Apabila tindakan ini dipersoalkan, alasan yang diberikan oleh PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah bahawa pengumuman dibuat sebelum tempoh kempen bermula.
“Perkara ini adalah tidak munasabah. Persoalannya adakah PMX akan menerima alasan yang sama sekiranya ia dilakukan oleh kerajaan Datuk Seri Najib Razak dahulu?” kata Misbahul Munir Masduki selaku pengurus kempen calon PN di Bidor, hari ini.
Bagaimanapun calon PN, Abdul Muhaimin Malek tidak hadir pada sidang media kali ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau telah mengarahkan Kabinet untuk tidak mengumumkan apa-apa peruntukan di Ayer Kuning sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Ditanya adakah PN mempunyai bukti atau mengesan calon BN dan jentera kempennya telah melanggar peraturan SPR dengan memberi apa-apa sumbangan ketika berkempen, Misbahul tidak mededahkan sebarang bukti.
Sebaliknya, Misbahul yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar mendakwa parti AMANAH dan PKR telah melanggar peraturan SPR kerana secara terang-terangan membantu calon BN, Dr Yusri Bakir berkempen.
“Pakatan Harapan (PH) bukan parti komponen BN, tetapi AMANAH dan PKR didapati boleh membuka bilik gerakan membantu calon BN. Boleh berkempen tapi tidak boleh guna logo, bendera parti.
“Pas dulu masa PRK menyokong calon BN ketika itu, kita akur untuk turunkan bendera Pas kerana dikatakan melanggar peraturan SPR sebab kita tidak bertanding, kita hanya menyokong,” katanya.
Semakan di laman sesawang SPR mendapati dakwaan PN itu tidak berasas.
SPR menjelaskan, lambang, simbol dan bendera parti calon yang bertanding termasuklah lambang, simbol dan bendera parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak, namun menyokong dan bersekutu calon parti politik bertanding tersebut dibenarkan untuk dipamerkan secara bersama atau berasingan di bahagian pilihan raya calon tersebut bertanding.





