DATUK Seri Anwar Ibrahim menggesa Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan (UPPP), agensi persekutuan dan negeri mengambil tindakan segera menyelesaikan isu tanah runtuh dan kerosakan jalan yang serius di Kampung Tiram, dekat Indera Mahkota, Pahang.
Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata, masalah itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran trafik tetapi turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya berharap agar tindakan proaktif dan berkesan dapat diambil dengan kadar segera,” kata Anwar.
Terdahulu, Setiausaha Politik beliau, Datuk Ahmad Farhan Fauzi mengadakan tinjauan di lokasi tersebut dan mendapatkan maklumat langsung daripada UPPP, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang.
Ahmad Farhan berkata, ia melibatkan laluan utama yang digunakan penduduk setiap hari, selain membimbangkan apabila sudah beberapa kemalangan berlaku di kawasan itu akibat jalan rosak.
“Alhamdulillah, pihak UPPP JPS telah mengambil maklum dan memberi komitmen bahawa pembinaan jalan sementara akan dilaksanakan segera dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu.
“Ini bagi memastikan laluan dapat digunakan dengan lebih selamat dalam masa terdekat,” katanya di Facebook.
Ahmad Farhan berkata, kerja pembaikan akan dimulakan selepas itu dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan, dengan beliau akan terus memantau perkembangan terkini agar keselamatan dan keselesaan penduduk diutamakan.







