Malaysia bersama 10 negara ASEAN bersatu hadapi kesan tarif AS

BUTTERWORTH – Malaysia perlu memanfaatkan kekuatannya dan bekerjasama dengan 10 negara ASEAN untuk menghadapi kesan tarif sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi negara-negara ASEAN untuk bersatu dalam menguruskan kesan tersebut.

“Kita tidak menghadapi cabaran ini sebagai satu negara sahaja, tetapi sebagai satu gabungan bersama dengan kesemua 10 negara ASEAN.

“Malaysia bersama semangat negara-negara ASEAN akan terus mencari jalan untuk mengatasi cabaran ini,” ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth pada Sabtu.

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan barisan kepimpinan negeri.

Terdahulu, Anwar berkata, negara anggota ASEAN bersepakat menolak tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini.

Menurut beliau, bagi mengatasi isu berkenaan secara kolektif, negara-negara ASEAN akan berusaha mencapai pendirian bersama.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia juga perlu menunjukkan teladan yang baik sebagai sebuah negara yang harmoni.

“Malaysia mesti kekal aman, ekonominya stabil dengan dasar yang jelas dan rakyatnya rajin bekerja.

“Kita mesti hentikan amalan buruk, sikap malas, kelewatan dalam kelulusan, dan rasuah,” tambahnya.

Beliau berkata, selain negara-negara ASEAN, Malaysia juga mempunyai hubungan baik dengan AS, Eropah dan China.

“Pulau Pinang telah menyuarakan kebimbangan terhadap tarif tersebut memandangkan industri eksport semikonduktor melebihi RM200 bilion dan 60 peratus daripadanya adalah ke AS.

“Saya telah menasihati Ketua Menteri (Pulau Pinang) bahawa dalam setiap cabaran, setiap krisis, kita boleh merungut dan tidak menyerah kalah atau kita boleh kumpulkan tenaga untuk mencari penyelesaian, kita perlu cari jalan untuk bangkit,” katanya.

Menurut beliau lagi, rakyat Malaysia perlu berani menghadapi cabaran dan mengatasinya.

“Saya percaya kita mampu membawa perubahan dan kejayaan yang kita impikan.

“Negara memerlukan perubahan ini demi jaminan pekerjaan, kestabilan ekonomi serta sekolah dan hospital yang bersih dan berfungsi,” katanya.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari yang diumum Trump, memberi kelegaan sementara kepada Malaysia.

Malaysia adalah antara 75 negara yang diberi penangguhan itu oleh pentadbiran Trump.

Related Posts

Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun lima sen seliter bagi tempoh 6 hingga 12 Ogos depan. Kementerian Kewangan (MOF), dalam kenyataan hari…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

PELAKON filem dan drama Kamarool Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man meninggal dunia pada Rabu dipercayai akibat serangan jantung. Allahyarham yang berusia 68 tahun itu menghembuskan nafas terakhir jam…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Fahmi anggap ‘Cik Man’ anak seni disegani ramai

Fahmi anggap ‘Cik Man’ anak seni disegani ramai

Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

  • By Aden
  • August 5, 2026
Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

Kerajaan percepat proses 15,000 permohonan pekerja asing bantu sektor ekonomi

Kerajaan percepat proses 15,000 permohonan pekerja asing bantu sektor ekonomi

Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan

Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan