PUTRAJAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan kadar tarif 24 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport Malaysia dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara, namun struktur ekonomi yang pelbagai serta dasar sedia ada dijangka mampu meredakan impak berkenaan.
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, meskipun eksport negara berisiko terjejas susulan langkah perlindungan perdagangan AS itu, Malaysia masih mempunyai kekuatan ekonomi seimbang dengan sektor perkhidmatan menyumbang 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2024, disokong permintaan domestik kukuh, pelaburan diluluskan pada paras tertinggi serta eksport memberangsangkan,” katanya dalam temu bual bersama Bloomberg Television yang disiarkan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini menyasarkan pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.5 peratus bagi 2025, namun unjuran itu sedang dikaji semula susulan perkembangan baharu berkaitan tarif AS.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed menegaskan bahawa BNM tidak tergesa-gesa menyesuaikan semula unjuran pertumbuhannya memandangkan situasi global masih berubah-ubah.
Katanya, lebih penting untuk kerajaan memberi komitmen terhadap pelaksanaan reformasi struktur ekonomi demi memperkukuh asas pertumbuhan dan menyokong kestabilan ringgit.





