
PUTRAJAYA – Tarif 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas produk Malaysia bermula 9 April depan mencipta peluang bagi negara diversifikasi pasaran selain kapasiti industri tempatan dapat diperkasa secara holistik.
Penganalisis ekonomi Universiti Islam Selangor (UIS), Ahmad Yani Ismail berkata, kerjasama antara kerajaan bersama sektor swasta dan rakyat adalah kunci untuk mengatasi kesan kenaikan kadar baharu levi itu selain memastikan kestabilan ekonomi bagi jangka masa panjang.
Menurutnya, keperluan buat Malaysia mencari pasaran baharu di rantau Asia Tenggara, China, India, dan Eropah, walaupun langkat terbabit memerlukan masa dan pelan strategik yang cekap, termasuk peningkatan kualiti produk dan promosi dagang yang agresif.
“Langkah ini boleh membuka peluang diversifikasi pasaran dan mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat. Cabaran ini besar, namun ia boleh menjadi pemangkin untuk Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam pasaran global jangka panjang.
“Kerajaan dan pihak swasta perlu melaksanakan pelbagai strategi proaktif. Salah satu langkah utama adalah melalui diversifikasi pasaran eksport dengan mempergiat usaha untuk memasuki pasaran baru seperti negara-negara ASEAN, Timur Tengah, Afrika, dan Amerika Latin,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Yani yang juga
pensyarah Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam, UIS berpandangan, pengeluar Malaysia perlu meningkatkan nilai tambah produk mereka melalui inovasi teknologi dan peningkatan kualiti untuk bersaing lebih efektif di pasaran global.
Jelasnya, kerajaan juga perlu terus menjalankan rundingan diplomatik dengan AS untuk mengurangkan atau mengecualikan tarif terbabit sambil menekankan hubungan perdagangan dua hala yang saling menguntungkan.
“Sokongan kepada syarikat kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas oleh tarif ini juga penting, termasuk melalui bantuan kewangan dan teknikal untuk membantu mereka bertahan dalam situasi ketidakpastian selain kerajaan boleh menggalakkan penggunaan produk tempatan melalui kempen “Belilah Barangan Buatan Malaysia” demi mengurangkan kesan kepada rakyat Malaysia.
“Langkah ini tidak hanya akan membantu industri tempatan berkembang, tetapi juga memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat untuk menyokong produk dalam negara. Dengan gabungan pelbagai pendekatan, Malaysia boleh menghadapi cabaran ini secara berkesan dan mengukuhkan kedudukan ekonominya dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, ASEAN mesti bertindak balas terhadap tarif baru diumumkan AS semalam dengan dasar dirangka berdasarkan pemusatan rakyat selain keperluan organisasi itu bergerak secara kolektif dan tidak bersendirian.

Katanya, jaringan keselamatan sosial, program peningkatan kemahiran, dan mekanisme sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu ditingkat skala perniagaan mereka bertujuan menyerap impak anjakan global.
“Rantau ini mesti memperdalam integrasi intra-ASEAN dengan mempercepatkan inisiatif seperti perjanjian perdagangan bebas barangan ASEAN, mengharmonikan piawaian, dan mengurangkan halangan bukan tarif.
“Pelaburan dalam infrastruktur serantau, perdagangan digital, dan industri mampan boleh mewujudkan enjin baharu pertumbuhan, kurang bergantung kepada pasaran luar yang mudah meruap.
“Paling penting, ASEAN mesti memaparkan suara kesatuan di forum global seperti di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan G20, menyokong perdagangan adil dan terbuka,” katanya.





