PUTRAJAYA – Polis digesa menjalankan siasatan segera terhadap video tular mengenai jurujual wanita berketurunan Dayak didakwa diugut dan dimaki seorang lelaki, termasuk perkataan berbaur perkauman dalam insiden di Central i-City Shah Alam, baru-baru ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada pelaku, sambil menyifatkan perbuatan berbaur perkauman dan tidak bertamadun, malah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara itu harus ditangani secara serius.
“Insiden seperti ini tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
“Setiap individu berhak dihormati tanpa mengira latar belakang etnik, agama atau status sosial mereka.
“Kementerian Perpaduan Negara tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Aaron turut mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia agar terus menjaga keharmonian dan perpaduan negara dengan saling hormat-menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Terdahulu, tular menerusi aplikasi TikTok rakaman video berserta kapsyen mendakwa seorang jurujual wanita berketurunan Dayak, diugut dan dimaki pelanggan, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dalam transaksi jual beli.






