Sabah destinasi baharu pelancong Hungary

KOTA KINABALU – Sabah semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pelancongan baharu bagi pelancong dari Hungary, dengan mencatatkan 192 ketibaan tahun lalu dan 30 pelawat pada Januari tahun ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai berkata, walaupun jumlah ini masih kecil, ia menunjukkan perkembangan positif memandangkan usaha menarik pasaran Hungary baru sahaja dimulakan tahun lalu.

Menurutnya, pelancong dari Hungary boleh ke Sabah dengan mudah melalui syarikat penerbangan China yang menyediakan sambungan selesa dari Guangzhou dan Shanghai ke Kota Kinabalu.

“Dengan laluan ini, kami menjangkakan lebih ramai pelancong dari Hungary serta negara-negara jiran di Eropah Tengah yang tertarik dengan keunikan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh STB pada Isnin bersama 12 ejen pelancongan dan wakil media dari Hungary.

Joniston menegaskan bahawa matlamat utama bukan sekadar meningkatkan jumlah pelancong, tetapi juga memperkenalkan Sabah sebagai destinasi pilihan kepada pasaran baharu yang belum mengenali Borneo.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk mempelbagaikan pasaran pelancongan dan menarik lebih ramai pelawat dari rantau baharu seperti Hungary.

“Sabah menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi yang unik, dan kami melihat potensi besar dalam pasaran ini. Walaupun jumlah pelancong masih kecil, ia menunjukkan minat yang semakin berkembang terhadap Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarang Turizmus.com Online, Hajnalka Fucsko, mencadangkan agar STB menyertai pameran pelancongan terbesar Hungary, HungEXPO di Budapest pada Februari tahun depan bagi memperluaskan lagi pasaran.

“Saya tidak pernah ke Sabah sebelum ini. Saya pernah ke Kuala Lumpur, jadi apabila mendapat peluang menerokai Borneo, khususnya Sabah, saya tidak berfikir dua kali.

“Destinasi baharu sentiasa memberi perspektif segar, dan saya teruja untuk memperkenalkan Sabah kepada pembaca kami di tanah air,” katanya.

Joniston turut memaklumkan bahawa sepanjang lawatan di Sabah, delegasi Hungary akan menerokai tarikan ikonik negeri ini, termasuk pulau-pulau, kawasan tanah tinggi sejuk di Kundasang, serta destinasi kaya hidupan liar di Sandakan untuk merasai pengalaman pelancongan alam semula jadi.

“Sebelum pulang ke Hungary, mereka juga akan menghadiri sesi business-to-business (B2B) pada Jumaat bagi menjalin potensi kerjasama dengan penggiat industri pelancongan tempatan,” ujarnya.

Related Posts

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

IPOH – Sebanyak RM80,000 diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh projek menerusi Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 Tahun 2026, dalam usaha memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lima anak Perak ke Kazakhstan, timba ilmu agroekonomi bertaraf antarabangsa

IPOH – Lima anak Perak bakal membawa nama negeri ke persada antarabangsa apabila terpilih mengikuti Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)–Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU) selama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak