
KOTA KINABALU – Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mengadakan perbincangan dengan AirAsia dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah termasuk Labuan bagi meneroka kerjasama dalam memperkukuh ekosistem pelancongan Sabah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkua berkata, tujuannya untuk mempererat sinergi antara sektor penerbangan dan perhotelan bagi menyokong sasaran pelancongan Sabah tahun ini.
Beliau berkata, antara fokus utama perbincangan adalah peranan sektor perhotelan dalam mempertingkatkan sambungan penerbangan menerusi inisiatif bersama yang dapat menarik lebih ramai pelancong ke Sabah.
“Adalah penting bagi semua pihak berkepentingan, termasuk sektor perhotelan, untuk bekerjasama dalam mewujudkan persekitaran yang mesra pelancong.
“Kerjasama yang efektif akan memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pilihan utama pelancong,” kata Joniston yang mempengerusikan mesyuarat itu di sini pada Jumaat.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah, Persatuan Pelancongan Cina Malaysia dan Persatuan Pelancong Sabah.
Tambah Joniston, STB akan mengadakan sesi dialog lebih menyeluruh yang melibatkan pengusaha hotel, penyedia pengangkutan dan agensi kerajaan berkaitan.
“STB akan bertindak sebagai pemudah cara dalam perbincangan itu dengan menghimpunkan semua pihak agar perbincangan lebih inklusif serta kerjasama bagi mencari penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Hadir sama dalam mesyuarat ialah Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Operasi Penerbangan), Kapten Datuk Chester Voo; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Kapten Datuk Fareh Mazputra dan Pengerusi MAH Sabah/Labuan, Hafizan Wong.







