
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa di bawah Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB), projek pembaharuan kediaman mesti dijalankan menerusi perundingan dengan pemilik untuk mendapatkan persetujuan menyertai projek.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, selepas persetujuan tersebut, pemilik akan menerima semula hartanah berkenaan yang telah diperbaharui, pampasan, manfaat sara hidup serta beberapa manfaat lain semasa peringkat pembinaan dan selepas pembinaan selesai.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan RUU PSB ini akan memastikan rumah yang telah diperbaharui diberikan kepada pemilik asal supaya mereka dapat kembali menghuni di atas tapak asal yang telah dibangunkan.
“Nilai pampasan hartanah yang akan diperolehi oleh pemilik pula ialah berdasarkan kepada nilai pasaran masa hadapan sekaligus membantu mereka untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui.
“Ini berbeza berbanding situasi semasa di mana pampasan yang diputuskan oleh perunding atau mahkamah adalah berdasarkan nilai semasa menyebabkan pemilik tidak mampu memiliki rumah baru yang harganya jauh lebih tinggi daripada pampasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Anwar Ibrahim dan PMO.
Sebelum ini, timbul dakwaan yang mengatakan apabila terlaksananya RUU PSB, pemilik asal kediaman terutama orang Melayu dan Bumiputera akan hilang hak mereka, malah ada juga mempersoalkan tentang bagaimana pemilik asal mampu untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui dengan harga yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Mengulas lanjut, katanya selain pampasan yang jauh lebih tinggi berbanding kaedah semasa, RUU PSB juga akan memastikan pelbagai bentuk pampasan atau manfaat diberikan kepada pemilik antaranya bayaran sewaan kediaman transit, bayaran ex-gratia renovasi hartanah sedia ada dan bayaran-bayaran lain bagi membantu sara hidup pemilik sepanjang tempoh pembinaan.
Menurutnya, ia juga sekaligus memastikan apa jua pembangunan semula menitikberatkan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas kepada Gagasan MADANI.
“Ini bermakna tidak benar persepsi mengatakan undang-undang PSB ini akan menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera hilang tempat di bandar atau undang-undang ini memberi keutamaan kepada pemaju.
“Sebaliknya, PSB ini digubal untuk melindungi hak pemilik dengan memastikan pampasan yang adil dan jauh lebih tinggi berbanding sekarang Untuk melindungi hak dan mengangkat martabat rakyat terutama orang Melayu di bandar untuk memastikan miskin bandar terutamanya orang Melayu hidup dengan lebih bermaruah ketimbang dibiarkan hidup berhimpit selama puluhan tahun tanpa penyelesaian.
“RUU PSB ini adalah penyelesaian kepada pergelutan antara rakyat dan pemaju yang berlaku sejak sekian lama,” ujarnya.





