Fahmi Fadzil
KETUA Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang PKR Lembah Pantai, selepas jawatan itu tidak dicabar pada pemilihan parti berkenaan April ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sehingga tempoh pencalonan tamat jam 12 tengah malam Ahad, tiada pihak menghantar pencalonan untuk bersaing merebut jawatan dimenanginya pada Pemilihan PKR 2018.
“Alhamdulillah di Lembah Pantai tiada pertandingan bagi Ketua Cabang, begitu juga di tiga kawasan lain di Wilayah Persekutuan iaitu Bandar Tun Razak, Putrajaya dan Labuan,” katanya ketika ditemui selepas Kempen Advokasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Bazar Ramadan Wangsa Maju, malam tadi.
Ditanya mengenai terdapat beberapa kawasan menyaksikan pertandingan Ketua Cabang menerima sehingga tujuh pencalonan, Fahmi berkata itu adalah sifat demokrasi yang membenarkan siapa sahaja menawarkan diri untuk bertanding.
“Apa yang penting baik di peringkat cabang atau pusat, bertanding secara sihat, elakkan terlibat di dalam aktiviti terlarang atau melanggar undang-undang, kita bertanding dalam suasana kekeluargaan,” katanya.



