
KUCHING – Seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun maut dalam satu kemalangan di tempat kerja di sebuah kilang di Pending, Kuching, Sarawak petang semalam.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, pihak Ibu Pejabat Daerah Kuching menerima makluman mengenai kejadian itu sekitar 4 petang daripada seorang pekerja kilang SpeCasts.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Balai Polis Bintawa segera ke lokasi kejadian,” ujar beliau.
Setibanya di tempat kejadian, jelas beliau lagi, polis mendapati mangsa tidak sedarkan diri akibat tersepit antara susunan palet dan pisau forklift yang terkena bahagian dada kirinya.
“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi telah mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” kata beliau.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja kilang dan bertugas sebagai pemandu forklift ketika kejadian berlaku.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat. Kes ini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” kata beliau lagi.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini bagi menjaga sensitiviti keluarga si mati.
Sekiranya terdapat individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini, mereka boleh menghubungi Ketua Polis Bintawa, SM Siti Mariam Hamid di talian 016-4661345 atau Balai Polis Bintawa di talian 082-335930.
Orang ramai juga boleh tampil ke balai polis berhampiran untuk memberikan maklumat.



