
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan suntikan modal baharu yang diberikan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) adalah untuk melunaskan hutang syarikat itu kepada 2,000 vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, majoritinya syarikat Bumiputera dalam sektor minyak dan gas.
Anwar berkata, tindakan ini merupakan sebahagian usaha penstrukturan semula SEB dan membantu menyelamatkan pekerja tempatan yang telah lama tidak menerima bayaran perkhidmatan mereka.
“Langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan ekosistem industri minyak dan gas tempatan. Saya tegaskan bahawa suntikan modal ini sama sekali tidak memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan lama SEB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada Khamis.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memberitahu, pemegang saham utama terdahulu tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB dan pengurusan baharu professional sudah dilantik untuk menjalankan tanggungjawab penstrukturan semula SEB.
Anwar berkata, proses audit telah dijalankan dan usaha wajar (due diligence) tambahan akan dilakukan sebagai prasyarat sebelum memuktamadkan suntikan modal itu.
“Hasil ‘due diligence’ ini juga akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Sekuriti bagi menentukan jika ada keperluan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak,” jelasnya.
Katanya, Kerajaan MADANI mengutamakan ketelusan serta tatakelola yang baik dalam pengurusan dan penstrukturan semula SEB ini menerusi kelulusan pemiutang serta melibatkan proses mahkamah.
“Suntikan ini bukan geran, tetapi pelaburan untuk memulihkan ekosistem minyak dan gas yang strategik bagi ekonomi negara,” katanya.





