Maritim Sandakan tahan individu, rampas peralatan perikanan haram

SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan beberapa individu dan merampas peralatan perikanan yang digunakan secara tidak sah dalam dua operasi berasingan yang dijalankan pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, tindakan itu diambil menerusi Operasi Khas Cegah PATI (OCP) / Operasi Pluto dan Operasi Tiris yang dilaksanakan di sekitar perairan Sandakan hingga Kinabatangan.

“Kes pertama berlaku sekitar pukul 8 pagi apabila Kapal Maritim (KM) Pintar menahan dan memeriksa sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) pada kedudukan 10.2 batu nautika timur laut Tanjung Layar-Layar, Sandakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan lampu pengumpul ikan yang dilabuhkan ke dasar laut dalam jarak kurang 12 batu nautika dari tanah besar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, seramai sembilan individu termasuk seorang tekong dan lapan anak kapal ditahan, terdiri daripada seorang warga tempatan dan lapan individu bukan warganegara yang memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.

Katanya, kesemua mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tambah beliau, Maritim turut merampas pelbagai peralatan termasuk sebuah vesel nelayan, lampu pengumpul ikan, lesen perikanan serta hasil laut dianggarkan seberat 100 kilogram.

Sementara itu, dalam kes berasingan, KM Tebrau mengesan sebuah VNT yang menarik pukat tunda di luar kawasan yang dibenarkan di perairan Kinabatangan Kecil.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua individu di atas vesel iaitu seorang warganegara Malaysia dan seorang lagi bukan warganegara.

“Vesel tersebut ditahan pada pukul 12.28 tengah hari di kedudukan 2.4 batu nautika dari Kinabatangan Kecil atas kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Antara barang rampasan termasuk pukat tunda, papan tunda, sistem kedudukan global (GPS) serta hasil laut seperti ikan dan udang,” jelasnya.

Muhamad Suhairy menegaskan bahawa kedua-dua operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Maritim dalam mengekang aktiviti perikanan haram dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang perikanan serta imigresen negara.

“Kesemua yang ditahan bersama barang rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa bekerjasama dengan Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut.

“Orang ramai boleh menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” ujarnya.

Related Posts

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini di fasa menuju perubahan besar dalam aspek kawal selia bagi memastikan institusi kewangan Islam itu beroperasi mengikut piawaian keselamatan dan profesionalisme tertinggi.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan tiada mana-mana ahli politik dalam barisan Lembaga Pengarah institusi itu ketika ini. Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menegaskan, perkara itu penting…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

AMK mahu Madinah perjelas isu sapina RCI Tabung Haji

AMK mahu Madinah perjelas isu sapina RCI Tabung Haji

Amaran risiko kecairan BNM tidak diendahkan TH sejak 2014

Amaran risiko kecairan BNM tidak diendahkan TH sejak 2014