
LAHAD DATU – Dalam usaha memperkasa Orang Kurang Upaya (OKU) dengan sokongan serta peluang yang saksama, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Harapan Kasih mengambil inisiatif bersama menjalankan perniagaan kuih sempena sambutan Hari Raya.
Pengerusi PPDK Harapan Kasih, Patma Chongge berkata, inisiatif itu dibuat dengan bimbingan petugas PDK bagi menghasilkan aneka kuih berkualiti tinggi sekali gus menjana pendapatan komuniti istimewa terbabit.
“Buat kuih merupakan antara kelas yang diketengahkan kepada pelatih terutamanya pelatih kelas dewasa agar mampu menonjolkan potensi diri mereka kepada kemahiran termasuk masakan.
“Di sini kita mahu agar anak istimewa kita ini sentiasa diberi perhatian dan membantu mereka berdikari dalam bidang perniagaan,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press, pada Khamis.

Menerusi konsep ‘Membeli sambil beramal’, Patma berkata, kuih yang dijual pelatih PDK ini bukan sahaja mendapat sambutan, malah mereka turut terlibat aktif dalam perniagaan di sekitar Lahad Datu pada sambutan perayaan lain.
“Contohnya pada program Sambutan Tahun Baru Cina, PDK juga sentiasa terlibat untuk bersama buka kiosk jadi di situ kita berniaga kuih dan kerepek selain menjual produk kraftangan anak istimewa kita.
“Sokongan padu daripada semua pihak memberi inspirasi kepada pelatih untuk terus mengasah kemahiran serta berinteraksi dengan pelanggan,” katanya.
Antara kuih yang dijual PPDK Harapan Kasih termasuklah ‘almond london’, tart nenas, kuih makmur, batang buruk, kacang mazola dan lain-lain dengan harga serendah RM15 sebalang.





