
PUTRAJAYA – Tuduhan kononnya kerajaan MADANI berat sebelah apabila hanya mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 kepada Harith Iskander dan Cecelia Yap atas kesalahan memuatnaik kandungan dan komen jelik menghina agama Islam, adalah tidak benar kerana hukuman sama juga diberikan pada zaman pemerintahan 33 bulan.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook aktivis politik, Liyana Marzuki yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya berkata, ketika kes seorang penganggur menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam yang berlaku pada zaman kerajaan Perikatan Nasional, denda RM10,000 juga dikenakan, namun tiada pula suara-suara sumbang kedengaran.
Jelasnya, Timbalan Pendakwa Raya atau Mahkamah tidak boleh mengeluarkan denda dan kompaun sesuka hati kerana setiap kes diteliti berdasarkan Duluan Kehakiman dan bukan dihukum mengikut selera kerajaan.
“Kalau kita kaji, kes hina Nabi masa 33 bulan pun denda nya sama RM10,000 juga. Masa zaman Tun Mahathir jadi Perdana Menteri pula hanya RM5,000. Itu denda duluan (precedent) yang ditetapkan. Kalau kes komen media sosial.
“Kalau kes penghinaan melalui video saya tengok ada penjara dan puluh ribu denda. Itu lain pula. Hukuman nya bergantung kepada fakta yang ada.
“Timbalan Pendakwa Raya atau mahkamah ini bukan denda ikut suka. Ada duluan yang digunapakai, bukan ikut selera kerajaan,” katanya.
Tambahnya, tidak kiralah sama ada kerajaan Pakatan Harapan atau kerajaan Perikatan Nasional atau Kerajaan Perpaduan, nilai denda dan kompaunnya tetap sama kepada mereka yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
“Yang hairan, set-set (puak) terpaling sekarang yang meroyan. Ketika zaman 33 bulan, saya tak nampak posting (hantaran) mereka acah-acah tersakiti bila denda RM10,000 ini, senyap sunyi.
“Itulah perkaranya, bukan sangat isu perjuangkan agama cuma sekarang kesnya terjadi bila kerajaan yang mereka benci, kalau Kerajaan yang mereka suka, semuanya secara automatik suci,” ujarnya.





