
KUALA LUMPUR – Sebanyak 5.1 juta pengguna aktif transaksi skim ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) direkodkan pada Disember 2024 sekaligus meningkatkan jumlah transaksi kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion pada separuh pertama tahun lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata setakat Disember 2024, daripada 5.1 juta pengguna aktif tersebut, majoritinya adalah golongan berusia 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan, manakala 12 syarikat menawarkan perkhidmatan itu pada masa ini.
Beliau berkata, di sebalik peningkatan kadar penggunaan BNPL di Malaysia, ia turut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal.
“Setakat Disember 2024, pinjaman BNPL berjumlah RM2.8 bilion yang hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.
“Kadar jumlah BNPL yang tertunggak juga terkawal pada RM82.6 juta iaitu 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kredit BNPL,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai usaha mengawal aktiviti agensi pemberi kredit seperti perkhidmatan BNPL.
Amir Hamzah menegaskan Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna di Dewan Rakyat pada 4 Mac 2024, yang menjadi antara usaha kerajaan meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.
Beliau menjelaskan, RUU Kredit Pengguna itu menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank.
“Di bawah Akta Kredit Pengguna kelak, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti ditetapkan, termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit secara adil dan memberi peringatan kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.
“Sekiranya RUU ini diluluskan, ia akan ditadbir oleh satu badan berkuasa berwibawa baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Kementerian Kewangan,” katanya.







