Cabaran pemakanan sihat sepanjang Ramadan: Sunnah Rasulullah vs mitos moden

“AKU pelik, bulan puasa sepatutnya badan makin ringan, tapi tiap tahun berat aku naik?”

Bunyi macam kelakar, tapi ini realiti yang ramai orang alami. Bulan Ramadan sepatutnya menjadi masa untuk ‘reset’ badan, tetapi sebaliknya, kita terperangkap dalam kitaran pemakanan yang tidak sihat. Setiap tahun, muncul trend makanan viral yang menggoda selera, dari Roti John Cheese Leleh, Air Balang Caramel Meleleh, hingga Ayam Perap Extra Sos. Masalahnya? Semua ini membuatkan kita rasa semakin berat, letih, dan akhirnya mengganggu kualiti ibadah. Tapi tahukah anda, jika betul-betul mengikut sunnah Rasulullah SAW, puasa sebenarnya boleh menjadi ‘life hack’ terbaik untuk kesihatan tubuh dan minda?  

Kurma: ‘Magic Food’  

Rasulullah SAW berbuka dengan kurma dan air kosong. Ini bukan sekadar tradisi, tetapi satu ‘formula’ pemakanan yang terbukti secara saintifik. Kajian dari Journal of Nutritional Science mendapati kurma mampu meningkatkan tenaga dalam masa lima minit tanpa menyebabkan lonjakan gula dalam darah seperti makanan manis lain. Malah, serat dalam kurma berfungsi sebagai prebiotik yang baik untuk sistem pencernaan, membantu perut bersedia menerima makanan lain selepas seharian kosong.  

Menurut kajian oleh International Society of Sports Nutrition (ISSN), kurma terbukti sebagai sumber karbohidrat semula jadi yang cepat diserap dan mampu meningkatkan tenaga dengan stabil, tanpa menyebabkan keletihan mendadak seperti gula putih.  

Terdapat juga beberapa kajian dan inovasi yang menunjukkan penggunaan kurma sebagai sumber tenaga semula jadi untuk atlet dan individu yang terlibat dalam aktiviti lasak. Sebagai contoh, penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah membangunkan gel tenaga berasaskan kurma, madu, dan ekstrak habbatus sauda. Gel ini direka untuk meningkatkan stamina atlet dan memudahkan penggunaannya semasa bersenam, mengelakkan ketidakselesaan gastrik yang sering dikaitkan dengan minuman tenaga dalam bentuk cecair. 

Selain itu, sumber lain juga menyatakan bahawa kurma kaya dengan karbohidrat, serat, potasium, dan magnesium, yang semuanya penting untuk kontraksi otot dan pemulihan selepas latihan. Kandungan gula semula jadi dalam kurma menyediakan tenaga segera yang diperlukan oleh atlet semasa latihan intensif. 

Tambahan pula, kajian menunjukkan bahawa kurma mengandungi glukosa yang merupakan sumber tenaga penting untuk kerja otot, serta vitamin dan mineral yang membantu dalam penyembuhan dan pemulihan otot. 

Oleh itu, penggunaan kurma sebagai sumber tenaga semula jadi bukan sahaja selaras dengan amalan sunnah, tetapi juga disokong oleh kajian saintifik dan inovasi terkini dalam bidang pemakanan sukan.

Yang lebih mengejutkan, atlet profesional kini menggunakan konsep ini! Pelari marathon, ahli sukan UFC, dan pelumba basikal antarabangsa telah mula menggantikan ‘energy gel’ mereka dengan kurma kerana ia memberikan tenaga segera secara semula jadi, lebih mudah dicerna dan tidak menyebabkan gangguan perut, malah jika dibandingkan dengan minuman tenaga biasa, hasilnya, kurma memberikan tahap tenaga yang hampir sama tetapi dengan manfaat tambahan serat dan antioksidan. Jadi, jika  atlet boleh beraksi dengan tenaga dari makanan sunnah ini, kenapa kita masih memilih minuman berkarbonat dan makanan bergula tinggi ketika berbuka?  

Makan banyak buat kita kuat berpuasa? Sebenarnya sebaliknya!

Satu lagi mitos yang ramai percaya adalah keperluan makan banyak ketika sahur untuk kekal bertenaga sepanjang hari. Hakikatnya, makan secara berlebihan terutama makanan tinggi karbohidrat seperti nasi berlebihan, mi segera atau kuih manis boleh menyebabkan tubuh lebih cepat letih. Fenomena ini dikenali sebagai ‘postprandial slump’, di mana gula darah naik mendadak selepas makan dan kemudian turun dengan cepat, menyebabkan kita rasa mengantuk dan lesu.  

Sunnah Rasulullah SAW menyarankan konsep 1/3 perut: 1/3 makanan, 1/3 minuman, dan 1/3 udara. Menariknya, konsep ini kini menjadi asas kepada ‘Intermittent Fasting (IF)’ dan ‘Mindful Eating’, dua pendekatan diet moden yang semakin popular kerana terbukti membantu mengawal berat badan dan meningkatkan tahap tenaga. Jadi, jika kita makan dengan cara yang lebih sederhana seperti sunnah, badan akan lebih bertenaga dan tidak terbeban dengan lebihan makanan yang tidak diperlukan.

Bazaar Ramadan: Syurga makanan atau perangkap kalori?  

Setiap kali Ramadan, bazar menjadi tempat wajib untuk mencari juadah berbuka. Waktu petang, orang ramai berpusu-pusu ke sana, masing-masing teruja nak pilih makanan kegemaran. Tapi, dalam keterujaan tu, kita sebenarnya sedang terperangkap dalam satu perang psikologi iaitu nafsu makan ketika lapar.  

Bila kita pergi bazaar dalam keadaan perut kosong, otak kita secara automatik akan cenderung untuk beli lebih daripada yang diperlukan. Dari satu gerai ke satu gerai, semua nampak sedap. Ayam percik? Nak. Martabak? Wajib. Kuih pelbagai warna? Borong terus. Akhirnya, kita bawa balik plastik penuh makanan, tapi bila waktu berbuka, tak semua pun kita mampu habiskan.  

Kajian dari Malaysian Journal of Nutrition menunjukkan bahawa 80 peratus juadah bazar mengandungi kandungan gula dan lemak berlebihan, yang boleh meningkatkan risiko obesiti dan diabetes. Makanan yang digoreng dalam minyak berulang kali atau minuman manis berwarna terang mungkin nampak menggoda, tapi sebenarnya ia menyumbang kepada rasa letih dan lesu selepas berbuka.  

Jadi, macam mana nak elak ‘perangkap’ ni? Sebelum ke bazar, buat senarai makanan yang betul-betul perlu dibeli. Bukan sekadar ‘ikut selera’ masa lapar, tapi fikir dengan rasional. Ini mungkin nampak kecil, tapi ia boleh bantu otak kita buat keputusan lebih bijak dan elakkan pembaziran. 

‘Deep Sleep’ Ramadan: Rahsia tenaga maksimum sepanjang hari

Ramai yang fikir tenaga semasa puasa bergantung sepenuhnya pada sahur dan makanan, tapi ada satu faktor yang lebih penting kualiti tidur. Kalau kita tidur tidak cukup atau tidur dalam keadaan yang salah, tidak kira berapa banyak kita makan sahur, kita tetap akan rasa letih sepanjang hari.  

Menariknya, Rasulullah SAW ada ‘sleeping hack’ yang kini terbukti secara saintifik! Salah satu sunnah baginda ialah tidur awal dan bangun sebelum Subuh. Kajian dari National Sleep Foundation mendapati bahawa waktu tidur antara pukul 10 malam hingga 2 pagi adalah tempoh ‘waktu emas’ di mana badan menghasilkan hormon pemulihan terbaik.  

Tapi ini bahagian paling menarik, ‘qailulah’ iaitu tidur sebentar sebelum Zuhur. Sunnah itu kini diiktiraf dalam dunia sains sebagai ‘power nap’, yang mampu meningkatkan daya fokus, tenaga, dan mengurangkan stres. Malah, syarikat gergasi seperti Google dan NASA menggalakkan pekerja mereka untuk mengambil ‘power nap’ kerana ia terbukti meningkatkan produktiviti dan kreativiti. Jadi, kalau kita amal qailulah dengan betul, kita tidak akan rasa terlalu letih menjelang petang.  

Macam mana nak buat qailulah dengan betul? 

Tidur 10-20 minit antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang, dan jangan lebih dari 30 minit supaya badan tak masuk ke fasa tidur lena ‘deep sleep’, yang boleh menyebabkan kita rasa lebih mengantuk selepas bangun.  

Jadi, kalau selama ni kita rasa Ramadan buat kita lesu, mungkin bukan sebab makanan, tapi sebab tidur kita tak cukup berkualiti!

Ramadan: Bulan ‘reset’ atau bulan ‘overload’?

Setiap tahun, kita diberi peluang untuk memperbaiki diri sepanjang Ramadan. Tetapi adakah kita benar-benar menggunakan bulan ini untuk ‘reset’ tubuh dan minda, atau kita hanya menjadikannya sebagai alasan untuk berpesta makanan? Sunnah Rasulullah SAW bukan sekadar nasihat lama, tetapi sebenarnya satu panduan pemakanan yang telah terbukti berkesan dalam dunia sains moden.  

Jadi tahun ini, apa kata kita lakukan sesuatu yang berbeza? Kurangkan makanan tinggi gula, amalkan konsep 1/3 perut, dapatkan tidur yang berkualiti, dan jadikan Ramadan sebagai bulan untuk membina semula kesihatan dan tenaga. Jika kita boleh disiplin selama sebulan, siapa tahu, mungkin kita akan terus terbiasa dengan gaya hidup yang lebih sihat selepas Ramadan?  

Persoalannya sekarang, adakah kita sudah bersedia untuk mengubah cara kita berpuasa tahun ini? 

Related Posts

Legasi OKT Lawai Melayong: Kisah ‘Lipan Baram’ dan Resolusi Damai Bumi Kenyalang

PESTA sukan air Baram Regatta lazimnya diraikan dengan penuh kemeriahan dan sentiasa dinanti-nantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak. Namun, di sebalik sorakan dan perlumbaan perahu yang mendebarkan, masih ramai…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Niti Daun Mukah 2026: Hanifah curi tumpuan gayakan busana Bidayuh

MUKAH – Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib mencuri tumpuan apabila tampil mengenakan pakaian tradisional masyarakat Bidayuh sempena Program Niti Daun Peringkat Daerah Mukah 2026 pada Sabtu. Kehadiran Ahli…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor: Anak muda pulanglah mengundi pada 11 Julai nanti

PRN Johor: Anak muda pulanglah mengundi pada 11 Julai nanti

Pengundi PRN Johor diingatkan waspada taktik sabotaj digital, akaun palsu

Pengundi PRN Johor diingatkan waspada taktik sabotaj digital, akaun palsu

Fahmi pelawa Onn Hafiz, Maszlee dialog di RTM

Fahmi pelawa Onn Hafiz, Maszlee dialog di RTM

Pelaburan JS-SEZ hampir RM77 bilion bukti keyakinan pelabur kekal tinggi

Pelaburan JS-SEZ hampir RM77 bilion bukti keyakinan pelabur kekal tinggi

Malaysia bantah dwistandard Barat dalam pematuhan undang-undang antarabangsa

Malaysia bantah dwistandard Barat dalam pematuhan undang-undang antarabangsa

Ekonomi Selangor cecah RM460.1 bilion, sumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara

Ekonomi Selangor cecah RM460.1 bilion, sumbang 26.5 peratus kepada KDNK negara