
JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah menetapkan tiga jumlah bagi kadar zakat fitrah di negeri ini berdasarkan penetapan gred beras yang dimakan oleh kebanyakkan rakyat negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, jumlah zakat ditetapkan adalah RM7, RM12 dan RM20 mengikut kadar timbangan satu gantang beras yang bersamaan 2.6 kilogram.
“Kadar zakat fitrah RM7 dikenakan kepada umat Islam yang menjadikan beras seperti super special tempatan dan beras hancur sebagai makanan hariannya, manakala kadar RM12 dikenakan kepada mereka yang makan beras import seperti beras putih import dari Thailand, Pakistan dan beras putih import Vietnam.
“Bagi kadar RM20 dikenakan kepada umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya seperti beras basmathi, super wangi dan ponnies.
“Bagaimanapun, bagi rakyat yang makan beras tempatan tetapi dalam keadaan beras tempatan susah diperoleh, kadar yang layak bagi mereka ialah RM7 dan situasi ini kerana mereka terpaksa membeli beras mahal kerana beras tempatan tiada,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau sempena Pengumuman Zakat Fitrah Johor 2025 dan Majlis Prapelancaran 100 tahun MAINJ di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Hasrin Kamal Hashim dan Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadot.
Mohd Fared berkata, pembayaran zakat fitrah menggunakan tiga kaedah iaitu menerusi 1,637 amil dilantik seluruh negeri ini secara tunai atau menggunakan kod QR.
“Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat secara dalam talian atau aplikasi, kaunter zakat MAINJ, kaunter bergerak dan kaunter UTC MAINJ (Kotaraya dan Pasir Gudang).
“Unjuran pungutan fitrah bagi tahun ini sebanyak RM29.32 juta dengan anggaran 2.51 juta umat Islam di Johor akan membayar zakat fitrah.
“Jumlah pembayar fitrah setiap tahun adalah hasil daripada kelahiran baharu dan mereka yang berhijrah ke Johor untuk bekerja dan sebagainya. Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi pada waktu kini,” katanya.
Dalam pada itu ujar beliau, MAINJ juga menyediakan poster dwibahasa dalam bahasa Inggeris dan bengali bagi tujuan masyarakat bukan warganegara untuk membuat bayaran zakat fitrah di Johor memandangkan mereka bekerja dan menetap di sini.
Statistik pada tahun 2024 menunjukkan jumlah pembayar zakat fitrah dalam kalangan bukan warganegara adalah sebanyak 54,156 orang dengan jumlah kutipan sebanyak RM674,630.





