KEJOHANAN hoki lelaki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 21 Jun ini bakal menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah.
FIH dalam pengumumannya memaklumkan, kejohanan disertai lapan negara itu akan diadakan di ibu negara dengan juara akan layak beraksi di Liga Profesional 2025-26.
Selain Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia, turut beraksi pada kejohanan edisi ketiga adalah pasukan di ranking kesembilan Perancis, Afrika Selatan (11), New Zealand (12), Korea Selatan (14), Pakistan (15), Jepun (16) dan Wales (18).
Presiden FIH, Tayyab Ikram ketika dihubungi Bernama menyatakan rasa teruja selepas kali terakhir FIH memilih Malaysia sebagai tuan rumah pada kejohanan Piala Dunia Remaja 2023.
“Kepercayaan dipilih sebagai tuan rumah oleh FIH adalah sangat penting dan kita harap semua pasukan dapat memberikan yang terbaik untuk Piala Negara-Negara ini.
“Bagi pihak FIH, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan selamat kepada semua, terutama pemain semoga dapat memanfaatkan pengalaman ini sebaik mungkin untuk berkembang dan mencapai tahap seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal yakin penganjuran kejohanan itu akan membawa bakat hoki dunia ke Malaysia.
“Kita amat bertuah kerana FIH memberikan kepercayaan kepada kita untuk menganjurkan kejohanan menakjubkan ini buat kali pertama.
“Kita juga berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyokong usaha kami menganjurkan kejohanan ini,” katanya.






