
KUCHING – Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memperkenalkan inisiatif terbaharu iaitu pusat kitar semula barangan terpakai.
Pengerusi MPP Cr. Tan Kai berkata, inisiatif tersebut merupakan kerjasama dengan Yayasan Tzu Chi Kuching yang bakal direalisasikan tidak lama lagi.
“Inisiatif tersebut bertujuan mempromosikan pengasingan sisa, kitar semula dan pendidikan alam sekitar dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pusat ini bukan hanya bertujuan kitar semula barangan terpakai tetapi menjadi hab pendidikan kelestarian alam sekitar.
“Ia menyediakan platform untuk orang awam mempelajari pengurusan sisa serta memupuk amalan kehidupan yang mampan,” jelas beliau.
Tambah beliau, MPP juga berkerjasama dengan Yayasan Tzu Chi Kuching untuk mengumpul dan menganalisis data mengenai trend pengurusan sisa di Padawan.
“Pendekatan berasaskan data ini dapat membantu memperhalusi dasar pengurusan sisa dalam memastikan Padawan sebuah kota yang bersih, mampan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk,” ujar beliau.
Difahamkan pelancaran rasmi pada Mac 2025 yang menonjolkan kerjasama yang kuat antara kedua-dua pihak.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen MPP dalam usaha mewujudkan persekitaran yang hijau dan mampan untuk penduduk Padawan.






