ARAU – Pesta Angin Timur Perlis 2025 (PAT2025) dijangka menjadi antara acara pelancongan terbesar negeri itu apabila menarik lebih 10,000 peserta dalam 42 pertandingan yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Norazlin Nordin, PAT2025 menampilkan pelbagai acara kebudayaan dan sukan tradisional bagi menarik penyertaan masyarakat tempatan serta pelancong luar.
“Pesta ini bukan sahaja memeriahkan suasana tetapi juga memperkenalkan seni, budaya dan permainan tradisional kepada anak muda dan generasi baharu.
“Antara acara utama yang menjadi tumpuan ialah Pertandingan Wau Helang dan Pertunjukan Layang-layang Tradisional dan Wau Moden yang dijangka disertai lebih 500 peserta dari dalam dan luar negara,” katanya di sini hari ini.

Menurut Norazlin, selain itu pertandingan Arca Jerami Gergasi yang julung kali diadakan turut menarik penyertaan daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), syarikat swasta dan individu yang ingin menampilkan kreativiti masing-masing.
“Pertandingan ini memberi peluang kepada peserta untuk menonjolkan bakat dalam seni arca menggunakan bahan semula jadi selain menjadi daya tarikan pelancong.
“Pesta ini juga menyaksikan acara unik seperti Pertandingan Bola Tampar Bendang, Pameran dan Pertunjukan RC Plane serta Persembahan Wayang Pacak yang semakin jarang ditemui dalam festival moden,” ujarnya.
Norazlin turut memaklumkan pengunjung akan berpeluang menyertai kenduri rakyat yang diadakan secara gotong-royong bersama penduduk kampung dan menikmati hidangan bersama Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis.
“Usaha ini bukan sahaja menghidupkan kembali tradisi kenduri rakyat, tetapi juga mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat dan pelancong.
“Dengan pelbagai aktiviti dan penyertaan yang tinggi, PAT2025 bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan Perlis, malah mengangkat warisan budaya sebagai satu daya tarikan utama kepada pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.






