
KENINGAU – Pakatan Harapan (PH) Sabah terus aktif suarakan pendapat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di semua platform.
Antaranya Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63), Jawatankuasa Teknikal dan jawatankuasa-jawatankuasa yang berkaitan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, PH Sabah akan memainkan peranan penting dalam usaha memastikan perundingan MA63 memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Kata beliau, ia termasuk melalui penglibatannya di Kabinet serta MTPMA63.
“PH Sabah juga akan terus memberikan pandangan dan input untuk memastikan setiap perbincangan dalam platform-platform berkaitan MA63 memberikan manfaat kepada rakyat Sabah secara keseluruhan.
“Perundingan MA63 masih diteruskan dan dibincangkan di semua platform,” katanya.
Menurut Ewon, lebih banyak tuntutan MA63 akan dipersetujui, dilaksanakan dan diturunkan kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak selepas ini.
“Mesyuarat MTPMA63, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu mengatakan 11 tuntutan telah dilaksanakan sepenuhnya daripada 21 tuntutan dalam MA63.
“Tujuh daripada 11 tuntutan tersebut dilaksanakan sepenuhnya di bawah pentadbiran Kerajaan Madani diserahkan kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak dan empat lagi semasa kerajaan sebelum ini,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Tahun Baharu dan Rumah Terbuka Hari Natal Pakatan Harapan Sabah, di Dewan Pasisimpungan, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ewon berkata, penganjuran pelbagai sambutan perayaan dapat memperkukuhkan kebersamaan rakyat di negeri ini.
“Saya percaya penganjuran majlis seperti ini adalah antara satu usaha PH Sabah dalam memupuk semangat perpaduan rakyat yang berbilang etnik.
“Selain Sambutan Tahun Baharu Cina, kita juga akan terus menganjurkan majlis seumpama ini untuk memperkukuhkan perpaduan antara etnik dan agama lain seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan.
“Penganjuran acara seperti ini adalah simbol penghormatan terhadap hak-hak rakyat Sabah yang dijamin dalam Perlembagaan serta selaras dengan tuntutan MA63,” katanya.




