
MOODY’S Ratings (Moody’s) dalam laporan terbaharunya telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan “Stabil”.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan mengakui laporan terbaharu Moody’s itu mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Madani dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
Katanya, ekonomi Malaysia terus kekal pada landasan pembaharuan fiskal dalam ketidaktentuan yang menstrukturkan semula ekonomi global dan perpecahan geopolitik yang selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Pengesahan penarafan oleh Moody’s merupakan pengiktirafan ke atas usaha berterusan Kerajaan Madani dalam memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.
“Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia.
“Dalam tahun ini, Kerajaan Madani akan memesatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi seperti yang digariskan di bawah Belanjawan 2025, di samping memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kepelbagaian ekonomi dan peluang baharu.
Kerajaan juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan yang saling menguntungkan bagi rantau ini,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Laporan Moody’s, turut meramalkan Malaysia akan menjadi ekonomi berpenarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun yang akan datang, sambil membanngunkan prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia yang memberangsangkan.
“Agensi penarafan ini menjelaskan bahawa kekuatan struktur kredit negara mengambil kira antaranya kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor yang menggalakkan perbelanjaan penggunaan, disokong oleh pasaran modal domestik yang kukuh dan sistem kewangan yang sofistikated.
“Moody’s turut mengiktiraf sokongan politik yang utuh telah memberi ruang kepada Kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perundangan lain,” menurut kenyataan MOF.
Dalam hal ini, MOF menegaskan, kerajaan terus komited untuk menambah baik kewangan awam dengan memperkasakan usaha dalam meningkatkan hasil dan rasionalisasi subsidi.
“Berdasarkan anggaran awal KDNK suku keempat tahun 2024 pada 4.8%, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan di antara 4.8% hingga 5.3%.
“Kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada 2025, dengan unjuran antara 4.5% hingga 5.5%.
“Di samping itu, usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka pada 4.3% daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8% pada 2025, secara beransur selaras dengan penetapan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Kementerian Kewangan,” kata MOF.




