
TELUK INTAN – Sebanyak 16 barang disenaraikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) semperna Tahun Baharu Cina 2025 selama sembilan hari bermula 25 Januari sehingga 2 Februari ini.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia akan dilaksanakan empat hari sebelum perayaaan, sehari ketika hari raya manakala empat hari lagi selepas Tahun Baharu Cina.
Ujarnya, sebanyak lima jenis barangan ditambah dalam SHMMP Tahun Baharu Cina tahun ini berbanding 11 barangan tahun lalu.
“Tahun ini, lima barangan ditambah di dalam senarai SHMMP Tahun Baharu Cina iaitu cili merah, bawang kuning besar, bawang merah import dan sawi pendek atau sawi Jepun bagi Semenanjung Malaysia sahaja.
“Manakala satu lagi barang kawalan adalah kepak ayam melibatkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya pada sidang media di Pasar raya Lotus’s, di sini, pada Selasa.
Terdahulu beliau turut merasmikan Pelancaran Program Jualan Rahmah Madani Dan Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
Turut hadir, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong.

Tambah Armizan, kesemua 16 barangan berkenaan akan ditandakan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna.
Barangan lain termasuk udang putih (200-400 gram); ikan bawal Putih (200-400 gram); ubi kentang import (China); kobis bulat import (Indonesia dan China); halia tua import; bawang Putih (China); lobak merah; lobak putih; babi hidup; daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Jelas beliau lagi, skim ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang telah ditetapkan di peringkat borong dan runcit.
“Pegawai dan penguatkuasaan KPDN akan turun ke lapangan bagi melihat pematuhan dan melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan para peniaga mematuhi arahan diberi,” katanya.
Pengguna boleh menyemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my dan sebarang maklum balas daripada pengguna boleh dibuat di platform aduan yang disediakan.





