PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli, mendahului senarai 555 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-77 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.
Mohd Rafizi, penerima tunggal Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) membawa gelaran Datuk Seri.
Lima individu pula menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk, iaitu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO negeri, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Summit Ascent Holding Limited, Datuk Chua Ming Huat.
Seramai 25 individu pula menerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.
Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) kepada 28 individu dan pingat Darjah Tuanku Muhriz (DTM) kepada empat orang penerima.
Selain itu, baginda juga berkenan mengurniakan Darjah Pekerti Terpilih (DPT) kepada 25 penerima, Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) 73 penerima, Darjah Setiawan Tuanku Muhriz (STM) tiga penerima, Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) 130 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 227 penerima, Bentara Tuanku Muhriz (BTM) 19 penerima dan Pingat Khidmat Lama (PKL) 14 penerima.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan bagi sesi pertama berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.








