KUANTAN – Proses meningkatkan minat golongan muda dengan bahan bacaaan berkualiti mengambil masa dan perlu dilakukan secara konsisten.
Ini adalah bagi mengelak golongan itu meluangkan lebih banyak masa dengan aktiviti kurang sihat.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha menerbitkan buku berkaitan sejarah dan perjuangan tokoh terkenal, termasuk kisah mengenai konflik di negara jiran.
“Ini adalah usaha yang perlu dibuat secara berterusan dan kita kena akui bahawa golongan muda hari ini kurang berminat untuk membaca buku seumpama itu.
“Tapi, saya percaya ia boleh ditambah baik dan kerajaan Pahang juga secara tahunan menganjurkan pesta buku, sebagai usaha mendekatkan golongan muda, remaja kepada bahan bacaan yang sesuai untuk mereka,” katanya selepas melancarkan buku ‘Senandika Selatan Thai: Luka Sembuh, Parut Tetap Ada’ di menara Kuantan 188, hari ini.
Buku itu hasil tulisan editor kanan Astro Awani, Dr Azlinariah Abdullah.
Hadir sama Pengurus Besar Kuantan 188, Khalisa Azman.
Mengulas mengenai buku berkenaan, Sabariah berkata, bahan bacaan dihasilkan Azlinariah adalah satu perkongsian menarik berkaitan konflik di Selatan Thailand dan ditulis dengan gaya bahasa yang mudah untuk difahami.
“Saya baru membaca sepintas lalu buku ini dan ia banyak memberikan gambaran lebih mendalam berkaitan isu sebenar yang berlaku di sana,” jelasnya.







