
TAWAU – Polis berjaya menggagalkan aktiviti pengedaran dadah selepas memberkas tiga lelaki serta seorang wanita dan merampas 503.70 gram syabu dianggarkan bernilai hampir RM17,000.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, rampasan syabu itu dibuat susulan tangkapan pertama dilakukan keatas seorang lelaki dan wanita warga tempatan di bandar Tawau, pada Isnin.
“Kita berjaya mengesan dua lagi suspek warga asing buruh ladang di Jalan Kalabakan kira-kira pukul 3 pagi pada Selasa dan menemui satu bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 503.70 gram.
“Kesemua suspek berumur 20 hingga 40 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Menurut Jasmin, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki warga asing tersebut positif dadah jenis syabu manakala suspek lelaki dan wanita warga tempatan itu negatif dari sebarang jenis dadah.
Tegasnya, polis giat menjalankan siasatan bagi memastikan rangkaian jenayah serta pengedaran dadah khususnya di Tawau dapat ditangani sepenuhnya.




