
POLIS menahan 12 penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kerana terbabit mencederakan seorang penuntut lelaki universiti berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, penahanan itu bagi membantu siasatan kejadian yang dilapor berlaku pada 15 Disember lalu.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat bapa mangsa, anaknya dipercayai dipukul secara bergilir-gilir hingga cedera.
“Kejadian dimaklumkan oleh mangsa kepada pengadu (bapa) melalui telefon pada 10.50 malam semasa pengadu berada di rumahnya di Melaka.
“Mangsa turut menghantar beberapa gambar yang menunjukkan kecederaan dialami di beberapa bahagian anggota badan.
“Pengadu kemudian tiba di Kuala Terengganu pada 16 Disember dan terus membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan di unit kecemasan, sebelum mangsa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Zaki berkata, pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan lebam dan kecederaan dalaman akibat dipukul dengan objek tumpul pada lengan kiri dan kanan, pinggang sebelah kanan, dada, bahagian perut dan kaki kanan mangsa.
Kesemua penuntut terbabit direman hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dan akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.








