Lagi bukti kekejaman Bashar al-Assad, berpuluh mayat ‘dilonggok’ dalam satu liang lahad

DAMSYIK – Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, pencarian dan penyiasatan diteruskan bagi mencari satu demi bukti yang menggambarkan pemerintahan kejam selama 61 tahun Parti Baath dan keluarga Assad di Syria

Menerusi rakaman udara visual Anadolu, di daerah Husayniyya, ibu kota Syria, Damsyik, sebuah kawasan lapang yang dipercayai merupakan sebuah kubur besar ditemui terletak di bahagian tenggara ibu kota, tepat di belakang Lapangan Terbang Damsyik.

Dijangka terdapat lebih daripada 100 liang lahad, masing-masing sedalam kira-kira 20 meter (65 kaki), yang digunakan sebagai kubur, dengan mayat dikebumikan bertindih antara satu sama lain.

Pengawal Tanah Perkuburan Kongsi Penemuan Kubur Besar

Menurut seorang pengawal tanah perkuburan di Husayniyya, Eymen Halil, yang bekerja di kawasan tersebut sejak 2005, Halil menyaksikan sendiri kejadian-kejadian sekitar pembentukan kubur tersebut.

“Suatu hari, sebuah kenderaan besar tiba. Apabila mereka membuka pintu, bau busuk menyebar. Saya hampir muntah dan melangkah ke belakang kerana tidak tahan,” katanya.

Halil mengenal pasti individu yang datang ke tapak tersebut sebagai pasukan keselamatan yang membawa sekitar 150 mayat setiap kali datang ke tanah perkuburan itu malah beliau juga pernah dipanggil ke tapak itu tetapi menolak kerana rakan-rakannya yang pergi tidak pernah kembali.

“Mereka menggali lubang, membawa mayat-mayat, mencampakkannya di situ, dan kemudian pergi. Pada mulanya mereka datang pada siang hari, tetapi kemudian mula datang pada waktu malam.

“Mereka mengebumikan mayat sekali atau dua kali seminggu. Apabila trak atau jentolak tiba, jelas mereka datang untuk mengebumikan seseorang.

“Walaupun tidak mengenali individu yang datang untuk mengebumikan mayat di tapak ini namun kami berdoa kepada Tuhan agar identiti mereka ini didedahkan. Kami pasti tempat ini dipenuhi mayat.”

Halil menegaskan bahawa ratusan orang telah dikebumikan di tanah perkuburan ini.

Mazhar Arakusi Cari Mayat Abangnya di Kubur Besar

Mazhar Arakusi, seorang penduduk Damsyik, menceritakan kepada Anadolu tentang pencariannya untuk mayat abangnya di kubur besar itu, lapor Anadolu.

Arakusi mempunyai empat orang abang dan pada malam 3 Januari 2014, tentera rejim Assad telah datang ke rumahnya dan menangkap ahli keluarganya sebelum ditahan di penjara untuk tempoh yang lama dan diseksa selama lima bulan.

“Empat daripada kami ditangkap, tiga sahaja yang keluar. Abang saya meninggal dunia akibat penyeksaan. Kami juga menderita akibat penyeksaan, dan kami serahkan segalanya kepada Tuhan,” katanya.

“Kami dengar bahawa kubur besar telah ditemui di sini. Kami datang dengan harapan untuk menemukan mayatnya atau tulangnya. Kami ingin menjalankan ujian DNA dan mengebumikannya mengikut tradisi Islam.

“Anda tahu orang di kubur itu adalah saudara anda, tetapi anda tidak tahu di mana mereka berada. Anda hanya mampu berdoa, semoga semua yang terkorban, dapat dikenal pasti identitinya,” katanya.

Kilang dadah milik keluarga Assad

Sementara itu, dalam penemuan terbaharu, sebuah vila di ibu kota Syria, Damsyik, dikenal pasti sebagai pusat pengeluaran dadah yang dikaitkan dengan Maher al-Assad, abang kepada pemimpin rejim yang digulingkan, Bashar al-Assad.

Sejak kejatuhan rejim Baath yang telah berkuasa selama beberapa dekad pada 8 Disember, pusat-pusat pengeluaran dadah di seluruh Syria telah ditemui secara beransur-ansur.

Di dalam vila tersebut, terdapat bilik-bilik yang dipenuhi dengan puluhan tong berisi bahan mentah dan mesin yang digunakan untuk pengeluaran dadah.

Diketahui bahawa rejim terdahulu merampas vila-vila milik orang awam dan menukarnya menjadi tapak pengeluaran dadah.

Menurut rakaman tersebut, beberapa peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dadah pada asalnya direka untuk pengeluaran farmaseutikal.

Rejim yang digulingkan dilaporkan menjana berbilion dolar melalui perdagangan dadah, yang menjadi salah satu sumber utama pendapatannya.

Rangkaian pengeluaran dan penyeludupan dadah di bawah kawalan Maher al-Assad memudahkan penghantaran narkotik yang dihasilkan di Syria, terutamanya melalui Lubnan, ke pasaran serantau dan antarabangsa.

Maher al-Assad, tokoh kedua paling berpengaruh dalam rejim Parti Baath, serta keluarganya, memegang pangkat setara dengan mejar jeneral dan merupakan komander Divisyen Berperisai Ke-4 tentera Syria.

Dikenali kerana taktik kekejamannya, beliau terlibat dalam beberapa pembunuhan beramai-ramai semasa pemerintahan rejim tersebut.

Selain peranannya dalam ketenteraan, Maher al-Assad dikenal pasti sebagai dalang perdagangan dadah antara Lubnan dan Syria.

Bashar al-Assad, yang memerintah Syria dengan kekejaman selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada 8 Disember selepas kumpulan anti-rejim mengambil alih Damsyik. Pengambilalihan itu berlaku selepas pejuang Hayat Tahrir al-Sham (HTS) berjaya menawan bandar-bandar utama di seluruh negara dalam serangan pantas yang berlangsung kurang daripada dua minggu.

Syria telah dilanda perang saudara yang kejam sejak awal 2011 apabila rejim Assad bertindak keras terhadap protes pro-demokrasi dengan kekejaman yang tidak dijangka. Lebih daripada 5 juta orang awam telah kehilangan tempat tinggal sejak itu.

Related Posts

Lapangan terbang utama Jakarta ditutup susulan letusan Gunung Anak Krakatau

JAKARTA – Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, dekat sini ditutup sementara hari ini selepas abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau dikesan di kawasan lapangan terbang itu menyebabkan 209 penerbangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
AS, Iran perlu kembali ke meja rundingan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran menghentikan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta segera kembali ke meja rundingan. Beliau berkata, peningkatan ketegangan antara kedua-dua…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lima mangsa nahas helikopter ditemukan dalam bangkai pesawat

Lima mangsa nahas helikopter ditemukan dalam bangkai pesawat

PDRM tahan lima individu termasuk bekas pengerusi TH

  • By Aden
  • September 9, 2026
PDRM tahan lima individu termasuk bekas pengerusi TH

Tidak benar Ismail letak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan

Tidak benar Ismail letak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan

Di Malaysia PM tolak gaji, di Singapura nilai gaji PM melonjak 64 peratus

Di Malaysia PM tolak gaji, di Singapura nilai gaji PM melonjak 64 peratus

Merdeka bukan lesen memutar sejarah, Islam terpelihara rekod politik wajar dinilai

Merdeka bukan lesen memutar sejarah, Islam terpelihara rekod politik wajar dinilai

Persiapan Sambutan Hari Malaysia Ke-63 di Sabah giat diselaraskan

  • By Ezmie
  • September 9, 2026
Persiapan Sambutan Hari Malaysia Ke-63 di Sabah giat diselaraskan