
BUKIT GANTANG – Meraih undian sebanyak 59 undi melayakkan Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Ibnu Rasyeed Mat Isa, sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang yang baharu.
Menggunakan slogan ‘Bersama kita bina semula’, beliau menewaskan Mohd Syaimein Rosli yang memperolehi 35 undi daripada 94 perwakilan yang mengundi dalam Mesyuarat Khas Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang pada Ahad.
Keputusan tersebut diumum Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaluddin yang turut mengumumkan 15 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Bukit Gantang yang menang pada pemilihan tersebut.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.
Ibnu Rasyeed berkata, agenda pertama yang akan dilakukan adalah menguatkan ukhuwah dalam menyatukan semula ahli-ahli Pemuda UMNO bahagian dan meneruskan usaha mendekati pengundi muda.
Ujar beliau, pihaknya juga akan berusaha menambah cawangan Pemuda UMNO daripada 33 kepada 50 cawangan dalam tempoh 2 tahun ini.
“Pertama usaha kita ialah menguatkan kembali ikatan ukhuwah bersama ahli di peringkat cawangan-cawangan, jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian. Apa yang berlaku sebelum ini biarkan berlalu dan fokus kita sekarang hendak menghadapi pilihan raya yang semakin hampir.
“Apabila kita kuat, kita bersatu, insya-Allah menjadi lebih mudah. Kita hendak fokus untuk menawan dan menambat golongan muda untuk bersama UMNO.
“Tugas penting saya bersama sahabat-sahabat adalah berusaha menambah cawangan Pemuda UMNO daripada 33 kepada 50 cawangan seperti mana dihasratkan Ketua Bahagian,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Isnin.
Oktober lalu media melaporkan Pemuda UMNO Bukit Gantang didakwa ‘lumpuh’ apabila hampir semua AJK meletak jawatan kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan prestasi bekas Ketua Pemuda terdahulu.
Namun menurut Mohammad Sollehin, pemilihan semula Ketua dan AJK Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang dilaksanakan susulan berlaku salah faham di peringkat dalam sayap pemuda UMNO itu.
Jelas beliau, selepas pemilihan ini, tujuan utama adalah untuk menyatukan semula ‘ikatan keluarga’ dalam melayari bahtera terus maju ke hadapan.
“Mereka mempunyai tugas besar dalam tempoh dua tahun mendatang terutama dalam memastikan sokongan orang muda terutamanya kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus meningkat,” kata Mohammad Sollehin.








