
PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjamin kebolehpasaran pelajar menerusi pelbagai program libat sama antara universiti dengan pihak industri bagi membolehkan pelajar memperoleh pendedahan kepada pengalaman bekerja sebelum memasuki alam pekerjaan yang sebenar.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, sebelum ini KPT hanya melahirkan graduan yang diajar dengan teori pembelajaran dan mesti menyelesaikan tempoh latihan industri selama empat hingga enam bulan sebelum tamat pengajian, namun kini KPT akan memastikan semua graduan terbiasa dalam industri.
Menurutnya, KPT sedang berusaha untuk menangani isu ketidakbolehpasaran pelajar lepasan institut pengajian tinggi (IPT) dengan meneruskan program pendedahan pelajar kepada pengalaman pekerjaan seperti ‘work based learning’ dan 2u2i.

“Melalui ‘work based learning, kita pastikan memang kita libatkan dengan industri, pelajar-pelajar dapat merasai bagaimana suasana dalam industri itu sendiri. Yang kedua di peringkat universiti, terutama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu dipanggil 2u2i, dua tahun di universiti, dua tahun di industri.
“Apabila kita guna pendekatan tersebut, sekarang kita berjaya minimumkan mana-mana graduan yang menghadapi cabaran ‘underemployment’ (lari bidang) atau ‘mismatch’ (ketidaksesuain pengajian) atau awal-awal lagi di peringkat universiti, kita telah buat saringan dan penyesuaian dengan kepakaran yang mereka ada,” katanya ketika ditemui pemberita The Malaysia Press.
Jelas Mustapha, apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk menggalakkan kebolehpasaran graduan IPT adalah dengan mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan namun tumpuan ketika ini adalah untuk melahirkan graduan ‘job creator’ dan bukannya ‘job seeker’.
“The whole nation approach us, pelbagai kementerian bergabung bersama tangani isu-isu ini terutama apabila melibatkan tenaga mahir yang ingin mendapatkan pekerjaan yang baik, kita bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Pendidikan.
“KPT juga sedang giat supaya pelajar-pelajar ini bukan lagi menjadi ‘job-seeker’ (pencari kerja) tetapi ‘job-creator’ (pembuat pekerjaan) atau istilah biasanya, usahawan. Usahawan yang biasanya akan membina syarikat atau industri dan membuka peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.
Mustapha berkata, mana-mana kursus pengajian di universiti yang tidak mencapai sasaran caping sebanyak 30 peratus kebolehpasaran graduan akan dibuat semakan semula dan dihentikan daripada mendapat pembiayaan pinjaman pendidikan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Ada beberapa kursus yang terpaksa kita kurangkan sebab kalau tidak dia akan melahirkan graduan ‘underemployment’, dari segi polisi KPT, akan ada caping 30 peratus ketidakbolehpasaran sesuatu kursus itu, kurang daripada 30 peratus, kita akan minta universiti untuk review (semakan semula).
“Buat transformasi supaya jangan sampai kita pertahankan mereka tetapi jika mereka hanya untuk belajar, graduan selepas itu, tidak ada kerja, sayanglah, kita mahu lahirkan tenaga mahir yang memang bermanfaat kepada masyarakat, jadi kena ambil kira dari segi perkembangan teknologi terkini terutamanya kecerdasan buatan AI.
“Mungkin bagi kita, kursus-kursus itu relevan tetapi tetap kena ‘review’ (semak) balik kurikulum dengan melibatkan pihak industri dan agensi-agensi lain supaya mahasiswa yang dilahirkan nanti ada tempat untuk bekerja,” katanya.






