
SANDAKAN – Program Jelajah Gelombang Pantai Timur 2.0 diteruskan dengan matlamat memperjuangkan hak-hak rakyat di akar umbi agar tiada yang terpinggir dalam arus pembangunan negeri.
Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Libaran, Dr Peter Jr Naintin berkata, program itu bertujuan memastikan komuniti kampung turut serta dalam proses pembangunan negara.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengangkat suara rakyat di akar umbi.
“Kita juga mahu komuniti kampung dapat bersama-sama dalam proses pembangunan negara.
“Kami komited untuk memastikan suara rakyat terus didengari kerana melibatkan kehidupan mereka,” katanya di sini, baru- baru ini.
Dalam pada itu, Peter juga mengumumkan bahawa jumlah ahli cawangan di Kampung Sungai Beruang kini meningkat kepada 58 orang.
Menurut beliau, usaha untuk memperkukuh sokongan di Kampung Kuala Gum-Gum dan Kg Dandulit akan diteruskan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan tumpuan seterusnya untuk mengenal pasti pemimpin tempatan yang berpotensi di Kg Banting dan Kg Dandulit.
“Majoriti penduduk di kawasan ini merupakan Bumiputera Sabah. Walaupun telah lama tinggal di kampung ini, mereka masih menghadapi cabaran ekonomi dengan pendapatan yang berada di bawah paras kemiskinan negara.
“Oleh itu, perhatian daripada pihak kerajaan amat diperlukan untuk memperbaiki taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau turut berharap program ini akan memberi impak positif kepada komuniti kampung, seterusnya mewujudkan peluang pembangunan yang lebih baik bagi mereka.







