
SETIU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM50 juta kepada Kelantan dan Terengganu dengan RM25 juta masing-masing, susulan keadaan banjir yang semakin memburuk di kedua-dua negeri tersebut.
Menurut Anwar, peruntukan tambahan itu akan disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan bakal digunakan bagi membaiki infrastruktur asas yang terjejas seperti jalan dan pembentung, termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.
Selain itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menyediakan bantuan khas kewangan RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri Terengganu, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.4 juta.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan, Kampung Telaga Papan, Setiu yang menempatkan 269 mangsa.
Anwar tiba di Kuala Terengganu sekitar pukul 10.25 di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi meninjau sendiri situasi bencana banjir di negeri itu.
Anwar kemudian mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telaga Papan, Setiu sebelum meneruskan lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan Mangkok, Setiu.

Jumlah mangsa banjir di negeri berkenaan terus meningkat kepada 43,281 orang pagi ini berbanding 41,409 yang dilaporkan malam tadi, melibatkan 11,679 keluarga yang berlindung di 305 PPS di kesemua lapan daerah terjejas di negeri berkenaan.
Menurut data terkini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Besut kekal dengan angka tertinggi iaitu sebanyak 16,084 mangsa, diikuti Hulu Terengganu (7,080), Dungun (6,470), Setiu (6,332), Kuala Terengganu (2,940), Kuala Nerus (2,307), Kemaman (1,230) dan Marang (775).
Menerusi semakan di portal InfoBanjir, setakat pukul 8.15 pagi tadi 12 stesen bacaan paras air sungai melibatkan empat di daerah Hulu Terengganu, tiga di Dungun, dua di Kuala Nerus dan masing-masing satu di Kemaman, Marang dan Setiu merekodkan paras bahaya.




