
KUCHING – Kerajaan Persekutuan sudah bersetuju menyerahkan 10 tuntutan Sarawka berkaitan pendidikan
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 & Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, 10 tuntutan Sarawak adalah tuntutan pentadbiran berkaitan pendidikan.
“Perkara pertama adalah mengukuhkan penglibatan antara Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak,” ujar beliau.
Tambah beliau, perkara kedua adalah kebenaran diberikan kepada kerajaan Sarawak berkaitan pengambilan guru lantikan Contract of Service (COS) walaupun masih tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
“Perkara ketiga yang dipersetujui adalah melaksanakan penilaian bagi tahun enam dan tingkatan tiga yang tertakluk kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Tambah beliau lagi, keempat adalah melaksanakan program TVET berdasarkan keperluan kerajaan Sarawak.
“Lima lagi tuntutan berkaitan perancangan projek pembangunan pendidikan dan menetapkan peruntukan masa pendidikan Islam tidak menganggu masa mata pelajaran yang lain terutama STEM,” jelas beliau ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
Sementara itu, Sharifah Hasidah menjelaskan kuasa autonomi berkaitan kesihatan sudah pun menubuhkan jawatankuasa kerja untuk membincangkan permintaan yang dikemukakan oleh kerajaan Sarawak.
“Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama yang erat kepada Sabah dan Sarawak dalam meningkatkan mutu perkhidmatan Kesihatan melalui penambahbaikan proses kerja pembaharuan lesen secara pendigitalan (CKAPS),” ujar beliau.
Bagaimanapun, tambah beliau lagi, masih banyak perkara yang akan terus dibincangkan dan berharap dapat mencapai banyak persetujuan.






