PUTRAJAYA – Persatuan Usahawan India Muslim Johor akan dipanggil memberi penjelasan esok, berhubung cadangan menaikkan harga makanan sekurang-kurang lima peratus mulai tahun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada persatuan itu untuk menjelaskan sebab cadangan kenaikan harga berkenaan, mengikut Seksyen 21.2 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Disebabkan persatuan ini baru saja membuat pengumuman untuk tahun depan, kita bertindak proaktif kerana tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan,” katanya kepada media selepas satu majlis di Subang Jaya, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor mengadu kos operasi mereka meningkat dan pelaksanaan gaji minimum mulai tahun depan dijangka melonjakkan lagi kos operasi.
Mengulas lanjut, Armizan memberi contoh sebelum ini melalui Ops Kesan 2.0, KPDN telah mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan berikutan penyasaran subsidi diesel serta kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Ada pihak yang membuat pengumuman kenaikan harga tetapi setelah dipanggil dan diminta memberikan penjelasan, didapati alasan tersebut tidak relevan.
“Contohnya, sektor pembinaan mendakwa kenaikan harga disebabkan penyasaran subsidi diesel, sedangkan sektor itu sebenarnya tidak layak menggunakan diesel bersubsidi,” katanya.






