
KUCHING – Bursa Karbon Bursa Malaysia (BCX) terus membantu Sarawak dalam usaha peralihan ekonomi rendah karbon.
Ini sejajar dengan matlamat pengurangan pelepasan global, dengan memudahkan perdagangan kredit karbon termasuk sijil tenaga boleh diperbaharui (REC).
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, syarikat yang berpangkalan di Sarawak menjual kredit karbon, termasuk sijil tenaga boleh diperbaharui (REC) yang dihasilkan menerusi projek seperti empangan hidro Murum.
“Ini memberi peluang kepada syarikat di Sarawak menjana keuntungan menerusi usaha mengurangkan pelepasan karbon, seiring dengan matlamat global dalam mengurangkan pelepasan karbon,” kata beliau.
Tambah beliau, inisiatif tempatan Sarawak melengkapkan usaha nasional oleh BCX, dengan entiti serantau seperti Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan SaraCarbon Sdn Bhd Kumpulan Samling secara aktif meneroka penangkapan, penyimpanan dan projek berasaskan alam semula jadi.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Adenan Satem pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Sementara itu, beliau berkata, Sarawak mempertimbangkan untuk menubuhkan Pusat Perubahan Iklim Sarawak bagi menyelaras, mengurus dan menyokong perubahan iklim dan perdagangan karbon di Sarawak.
“Ini sangat penting dalam meningkatkan kesedaran dan memperkenalkan kepentingan dan hala tuju strategik Sarawak untuk meningkatkan penyertaan swasta daripada pelbagai sektor,” ujar beliau.
Tambah beliau, Sarawak turut menganjurkan acara peringkat tinggi dan menjemput sektor swasta untuk mengambil bahagian seperti Persidangan Karbon Asia yang diadakan pada tahun hadapan.







