
BALING – Masalah kekurangan bekalan air yang dihadapi lebih 1,000 penduduk di sekitar kawasan Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong dekat sini dijangka berakhir setelah Projek Bekalan Air Bersih Maybank Islamic siap dilaksanakan sepenuhnya.
Ketua Perbankan Pengguna Maybank, Wilayah Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Shokor Mohd Nor berkata, projek komuniti di bawah ‘Program Tanggungjawab Zakat Koporat Maybank Islamic’ ini adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban kesusahan penduduk setempat bagi mendapatkan bekalan air bersih secara berterusan sepanjang tahun.
Katanya, projek yang bermula sejak awal September 2024 yang lalu ini dibiayai sepenuhnya oleh Maybank Islamic dan dilaksanakan dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) melalui program ‘Water For Tomorrow 2024’.
“Melalui projek ini sebuah tandak air telah dibina di kawasan bukit berhampiran kampung tersebut bagi tujuan menakung air sungai berdekatan sebelum disalurkan ke rumah pam. Projek ini menggunakan sistem graviti bagi tujuan penyaluran air dari tandak air melalui polypipe dari muka sauk ke rumah pam.
“Air tersebut akan ditapis dan dirawat terlebih dahulu menggunakan sistem panapisan air membran sintetik berskala tinggi dan kemudiannya disimpan didalam dua tangki simpanan berkapasiti 3,000 gelen yang disediakan.
“Air terawat kemudiannya disalurkan terus ke paip utama untuk kegunaan harian penduduk kampung dan sekitarnya,” katanya.

Menurutnya lagi, projek ini turut melibatkan penyertaan penduduk dan sukarelawan IAM untuk bersama-sama bergotong-royong bagi menambah sistem perpaipan dari sumber air ke tangki penyimpanan.
Selain untuk kegunaan di kawasan perumahan, air terawat ini juga dapat disalurkan di masjid, sekolah agama dan aktiviti pertanian.
Keadah ‘Sistem Air Graviti’ yang dibangunkan melalui projek ini lebih menjimatkan kos kerana tidak menggunakan tenaga elektrik untuk mengepam air ke tangki simpanan.
Sementara itu, Presiden Islamic Aid Malaysia, Zawahir Abdullah berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO), IAM memainkan peranan sebagai perantara di antara individu mahu pun golongan koporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha kemanusiaan dan kebajikan dalam membantu golongan yang memerlukan.
‘Kami sangat berbesar hati kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan pihak Maybank Islamic untuk melaksanakan satu projek yang amat bermakna dan bermanfaat kepada penduduk di sini.
‘Projek ini merupakan bukti keprihatinan Maybank Islamic dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
‘Saya yakin usaha yang dilakukan oleh pihak Maybank Islamic amat memberi kesan positif dan bermakna buat penduduk di sini. Alhamdulillah, kini penduduk kampung di sini mampu menarik nafas lega kerana mereka dapat menikmati bekalan air yang bersih secara berterusan sepanjang tahun,” katanya.







