
DUA ekor gajah yang tular di media sosial sedang menolak struktur pagar konkrit sebenarnya adalah sebahagian daripada proses ujian ketahanan prototaip pagar.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataan berkata, ujian ketahanan halangan fizikal tersebut telah dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Temerloh, Pahang baru-baru ini.
Menurutnya, pagar halangan itu dibina di kedua-dua belah landasan bagi mengelak konflik manusia-gajah di kawasan tersebut terutamanya semasa dan selepas projek itu disiapkan.
“Kami ingin memaklumkan video itu merupakan sebahagian daripada proses ujian ketahanan bagi reka bentuk pagar haiwan liar yang telah dijalankan di kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat gajah di daerah Temerloh, Pahang.
“Jajaran ECRL di Hutan Simpan Kemasul, Temerloh, Pahang merentasi beberapa ladang pertanian dan kawasan pinggiran Hutan Simpan Kemasul yang menjadi habitat kumpulan gajah,” kata kenyataan itu hari ini.
Mengulas lanjut, MRL berkata, langkah tersebut juga diambil sebagai salah satu kawalan mitigasi bagi menghalang kemasukan gajah ke kawasan landasan kereta api ECRL yang boleh menyebabkan kemalangan.
Dalam pada itu, pihak Perhilitan telah mengesyorkan agar ‘mock-up’ reka bentuk pagar halangan fizikal dibina di lokasi sebenar bagi menguji ketahanan dan keberkesanan pagar sebelum sebarang keputusan reka bentuk dimuktamadkan.
“Perbincangan susulan atau post-mortem antara pihak ECRL dan Perhilitan juga akan dibuat dalam masa terdekat untuk tindakan seterusnya,” katanya.



