KUANTAN – Sempena sambutan Deepavali hujung bulan ini, Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan kepada 50 keluarga kurang berkemampuan di Pahang.
Majlis penyampaian sumbangan itu dilakukan di Karak, dekat Bentong, semalam.
Hadir pada majlis itu adalah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Antara sumbangan disampaikan adalah barangan keperluan asas dan bertemakan perayaan Deepavali seperti beras basmathi dan serbuk briyani masala.
Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, Datuk V Arumugam.
Sementara itu, Mohammad Ahmad Shazly berkata, seramai 100 keluarga dari Pahang dan Kelantan menerima sumbangan Yayasan Petronas sempena program Memacu Kehidupan – Deepavali 2024.
Secara keseluruhan, seramai 1,600 keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara akan menerima sumbangan mereka melalui program berkenaan, tahun ini.





