PELARASAN gaji sebanyak 15 peratus yang bakal dinikmati kakitangan awam dalam dua fasa mulai 1 Disember ini turut membabitkan pegawai lantikan kontrak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pengurusan pegawai lantikan kontrak akan dilaksanakan berdasarkan ketetapan dinyatakan dalam Perenggan 190 hingga 192 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024.
Ia terkandung dalam Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi pegawai perkhidmatan awam.
“Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus yang diberikan secara berfasa iaitu lapan peratus di fasa satu dan tujuh peratus di fasa dua bagi pegawai kumpulan pengurusan dan profesional dan kumpulan pelaksana, akan turut dinikmati oleh pegawai lantikan kontrak,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia.
Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu adakah peningkatan kadar gaji penjawat awam diumumkan baru-baru ini turut merangkumi pegawai perkhidmatan awam berstatus kontrak.
Pada Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana.
Selepas 12 tahun terikat tanpa semakan, pelaksanaan SSPA menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember ini.
Ia menyaksikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam mendapat pelarasan gaji baharu selepas kali terakhir disemak pada 2013.





