
KOTA KINABALU – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan kereta yang bertembung di Jejambat Jalan Tanjung Aru, di sini, pada Ahad.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Christy Foo berkata tiga orang mangsa terlibat dalam nahas jalan raya pertembungan antara sebuah kereta Proton Saga Aeroback dan Perodua Viva.
“Pemandu kenderaan Proton Saga Aeroback, Armada Said, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lagi penumpang dalam kenderaan sama, Rosko Ideong manakala pemandu kenderaan Perodua Viva, Mohd Shahfiq Zulkiflie, 26, mengalami kecederaan seterusnya kedua-duanya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan selanjutnya.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau pihak bomba menerima panggilan kecemasan (MERS999) pada pukul 7.08 malam dan lima minit selepas panggilan tersebut, sembilan anggota bomba tiba di lokasi kejadian dalam jarak dua kilometer menaiki jentera penyelamat.
Operasi keseluruhannya dapat dikawal pada pukul 7.28 malam dan kemudian ditamatkan pada pukul 8.09 malam.





