
PUTRAJAYA – Tuduhan Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) terhadap tindakan ‘berat sebelah’ kerajaan dalam memerangi rasuah dilihat tidak tepat dan bercanggah dengan kejayaan yang diperoleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kenyataan bahawa kepercayaan awam terhadap membanteras rasuah mustahil dicapai tanpa reformasi adalah cadangan tidak seimbang, sekali gus mengetepikan kemajuan yang telah dibuat oleh SPRM.
Menurutnya, tuduhan negatif yang dilemparkan badan bukan kerajaan (NGO) itu boleh merosakkan keyakinan awam terhadap institusi yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara Malaysia.
“MCW ingin membangkitkan persoalan mengenai ketelusan C4 sendiri. Sebagai sebuah NGO yang menerima dana yang signifikan daripada sumber negara asing dan yang tidak didedahkan, terdapat kebimbangan yang sah tentang pengaruh entiti luar terhadap agenda C4.
“Ketelusan sepenuhnya mengenai sumber dana adalah sama penting bagi NGO seperti juga bagi badan-badan kerajaan, untuk memastikan mereka berkhidmat demi kepentingan rakyat Malaysia dan bukan agenda pihak luar,” katanya kepada The Malaysia Press, hari ini.
Terdahulu, C4 Center membangkitkan kebimbangan tentang kekurangan kebebasan SPRM secara berterusan serta kegagalan kerajaan menangani kebimbangan orang ramai terhadap isu rasuah dengan sebaiknya.
Mengulas lanjut, Jais berkata, suruhanjaya itu yang ditubuhkan menerusi Akta SPRM membuktikan ia merupakan badan bebas yang mempunyai autonomi menjalankan siasatan tanpa campur tangan pihak luar, termasuk ahli politik.
Berdasarkan peruntukan undang-undang, katanya, ia bukanlah agensi yang beroperasi secara langsung di bawah kuasa Perdana Menteri, walaupun pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah berdasarkan nasihatnya
kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Komitmen SPRM dalam meningkatkan isu tadbir urus dan integriti serta siasatan terhadap kes-kes kepentingan awam seperti isu air di Kelantan, rasuah melibatkan anggota penguat kuasa seperti pegawai Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam pada tahun ini, menunjukkan dengan jelas dedikasi mereka dalam memerangi rasuah dalam kerajaan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Selain itu, SPRM turut menyiasat pemimpin daripada pelbagai latar belakang politik tanpa mengira parti, seperti beberapa pemimpin utama UMNO termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Malah, pertuduhan rasuah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, perbicaraan yang sedang berlangsung melibatkan Lim Guan Eng, serta sabitan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuktikan bahawa tindakan SPRM tidak terhad kepada parti pemerintah, tetapi melibatkan sesiapa sahaja yang didakwa terlibat dalam rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Jais menegaskan, SPRM turut dipantau oleh lima badan pemantau bebas yang terdiri daripada anggota masyarakat yang dihormati, pakar daripada pelbagai bidang, serta wakil Parlimen bagi memastikan agensi itu tidak bertindak secara sewenang-wenangnya atau di bawah pengaruh politik.
“SPRM juga diwajibkan mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen melalui Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi memastikan ketelusan dalam operasi badan itu serta memberi peluang kepada ahli Parlimen membincangkan dan mengkaji setiap tindakan yang diambil, selain mempunyaj ruang untuk kritikan awam serta pemantauan yang berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, Jais menegaskan, tindakan serta kejayaan yang diperoleh secara langsung membuktikan bahawa SPRM beroperasi secara bebas dan komited untuk membasmi rasuah dengan adil dan berkesan.
Beliau menggesa agar C4 Center serta pihak berkepentingan lain untuk terlibat dalam dialog yang membina, dan bukannya mengeluarkan kritikan awam secara sepihak (unilateral) berikutan rasuah adalah isu nasional yang memerlukan tindakan kolektif.
“Kami percaya bahawa kerjasama antara SPRM dan organisasi masyarakat sivil akan lebih produktif dalam mencapai kemajuan yang lebih bermakna. Memerangi rasuah adalah tanggungjawab bersama.
“Kami berharap organisasi masyarakat sivil akan bekerjasama dengan SPRM, dengan ketelusan dan saling menghormati, untuk membina kepercayaan rakyat Malaysia dalam melaksanakan tugas kerja penting ke arah menjadikan Malaysia negara bebas rasuah,” katanya.





