PUTRAJAYA – “Tak perlu minta maaf. Jangan usik rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, kita harus hormat antara satu sama lain.”
Demikian teguran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika diminta mengulas mengenai gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mahu Pakatan Harapan (PH) memohon maaf secara terbuka kepada UMNO susulan serangan terbuka kepada parti itu sejak berdekad lalu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan berhubung gesaan memohon maaf itu tidak mewakili pendirian UMNO.
Malah, beliau berkata, isu itu tidak berbangkit dan meminta supaya pemimpin UMNO tidak sesekali menimbulkan provokasi berhubung perkara itu lagi.
“Itu adalah kenyataan Nur Jazlan atau Dr Akmal (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh).
“Selagi presiden atau ketua parti tak keluarkan sebarang kenyataan, itu adalah berbentuk peribadi,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Media sebelum ini melaporkan, Nur Jazlan berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pada 28 September lalu menunjukkan tiada satu pun parti tunggal dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang boleh mendakwa menjadi tunjang utama dalam pakatan berkenaan.
Katanya, PH perlu sedar dan wajar meminta maaf kepada UMNO susulan pelbagai tohmahan, tuduhan dan persepsi yang mereka cipta sejak berpuluh tahun lalu hingga menyebabkan parti itu dipandang kotor oleh pengundi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, perbezaan pandangan dan serangan antara pemimpin parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana ia boleh menjejaskan kerjasama baik yang dibina bersama.
Malah, katanya, pagi tadi beliau sudah bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepemimpinan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi membincangkan isu terbabit.
“Tadi sebelum dan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah bertemu dengan Perdana Menteri selain presiden, pengerusi dan setiausaha parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan.
“Kita ketepikanlah perbezaan pandangan ini dan mesti berjalan ke depan untuk menjalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa saja kemungkinan termasuk PRK atau Pilihan Raya Umum,” katanya.







