Ancaman gajah: Kusut ikhtiar, budi PMX ditagih

KEMATIAN Musa Ahmad, 65, pada 4 Oktober 2024 (Jumaat) dilihat sebagai kemuncak kekusutan ikhtiar ribuan penduduk Kampung Pasir Dula, Basong, dan Padang Setebu dekat Tasik Kenyir, Hulu Terengganu mengatasi ancaman gajah liar.

Dalam tragedi di kawasan pertanian Sungai Kecur Kanan dekat sempadan Basong dan Pasir Dula, Musa ditemukan mati oleh kumpulan pencari kira-kira 7:15 pagi 5 Oktober dalam keadaan hidung berdarah dan lebam pada sebahagian besar tubuh.

Akhbar Kosmo! Online pada 5 Oktober melaporkan bahawa kecederaan yang dialami pekebun itu dipercayai akibat dipijak gajah liar.

Sinar Harian pada tarikh yang sama, memetik kenyataan Ketua Polis Hulu Terengganu – Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin – bahawa jasad Musa ditemukan di cerun bawah talian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kes ini tragis!

Media sudah kerap melaporkan ancaman gajah liar ke atas penduduk tiga kampung ini yang semakin hari semakin ‘ekstrem’ dan sangat mengganggu kegiatan ekonomi serta keselamatan penduduk.

Kosmo! Online, contohnya, pada 2 Oktober lalu melaporkan, gajah liar menceroboh tiga kampung berkenaan hampir setiap malam kebelakangan ini.

Dalam keadaan tertentu, gajah berkenaan bergerak dalam kumpulan antara 10 hingga 15 ekor dan beralih dari satu kawasan pertanian ke satu kawasan pertanian lain di antara ketiga-tiga kampung tersebut.

Selain Kawasan Pertanian Kecur Kanan, gajah itu menceroboh Kawasan Pertanian Tok Baram, Kawasan Pertanian Kecur Kiri, Kawasan Pertanian Beru, Kawasan Pertanian Sungai Nering, Kawasan Pertanian Buluh Nipis, Kawasan Pertanian Kuala Ayur, dan Kawasan Pertanian Sungai Ayur.

Dalam pergerakan itu, sesekali ada seekor dua gajah tersebut yang terpisah daripada kumpulannya berkeliaran senyap-senyap.

Sebenarnya, sudah banyak usaha dilakukan pengurusan kampung dan para penduduk, termasuklah mengadakan pertemuan dengan pihak Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Hal ini pernah disentuh oleh bekas wakil rakyat dan wakil rakyat semasa kawasan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tinjauan mendapati, gajah liar bukan hanya menceroboh kebun malahan ‘berkunjung’ ke tepi rumah mereka dan kekerapannya semakin tinggi akhir-akhir ini.

Dalam kes tertentu, penduduk mendakwa, melalui cermin tingkap pada lewat malam atau awal pagi, mereka ternampak belalai gajah dan pergerakannya kedengaran jelas.

Keadaan itu membuatkan penduduk terutama yang rumahnya tersorok, berdekatan kawasan hutan, dan berada di hujung kampung tidak dapat tidur lena.

Semenjak beberapa tahun penduduk berpakat mewujudkan tabung untuk membiayai kos ‘berjaga’ di kawasan tertentu dan membeli pokok pisang sebagai umpan apabila ada operasi Perhilitan menangkap mamalia tersebut.

Dari segi kerugian, jumlahnya banyak iaitu melibatkan kerosakan harta benda kawasan rumah, kemusnahan pokok tanaman – durian, duku, langsat, manggis, dokong, rambai, petai, bunga kantan, pinang, kelapa sawit, getah, dan sebagainya.

Pada Mei 2023, seorang belia – Ahmadul Masrah Alias, 28, yang mengusahakan kebun pisang berkualiti tinggi berputih mata apabila tanaman seluas 0.809 hektar musnah sekelip mata ketika buah pisang itu menunggu detik untuk dituai.

Nasib malang itu sebelumnya kerap dialami lebih 30 pekebun pelbagai jenis tanamanan dan insiden yang bermula September 2022 itu dilaporkan media massa antaranya Berita Harian, Bernama, Sinar Harian, Buletin TV3, Harian Metro, dan Utusan Malaysia.

Didapati juga bahawa semenjak akhir September 2024, berpuluh-puluh pekebun duku tidak berani ke kebun untuk memetik buah biarpun permintaan peraih sangat baik.

Hal itu berlaku kerana ada dalam kalangan mereka kerap menelefon Perhilitan, namun agensi itu menjelaskan, fokus unit gajah ketika itu mengepung gajah yang menceroboh kawasan dalam mukim Hulu Berang (jauh dari kawasan tiga kampung tersebut).

Ekoran itu kebun duku terbiar. Buahnya gugur begitu sahaja kerana sebahagian besar pekebun takut ke kebun masing-masing setelah berlaku kejadian ke atas Allahyarham Musa Ahmad pada 4 Oktober 2024.

Hal itu amat malang kerana sepanjang setahun mereka berbelanja besar menguruskan kebun – membersihkan kebun dan membaja – tetapi apabila tiba musim mengutip hasil, mereka berdepan masalah ini.

Pada akhir tinjauan, penulis menerima ‘bisikan’ daripada pekebun agar menyampaikan permohonan pertolongan mereka kepada Perdana Menteri Kesepuluh (PMX).

Mereka mengakui berada di jalan mati dan jasa baik PMX amat diperlukan!

Related Posts

Perlu dibaca

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat