Nur Jazlan sedang meracuni banir PH?

ANALOGI permainan poker yang seakan-akan menjadi kepakaran Datuk Nur Jazlan Mohamed bukan fokus saya sekalipun saya tidak bersetuju itu diperkatakannya kepada khalayak.

Dalam pukulan curinya ke atas Pakatan Harapan (PH), khasnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah), terihat satu agenda sedang dilaksanakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu.

Berasaskan kata-katanya bahawa di meja permainan ‘poker politik’ sekarang hanya ada tiga parti termasuk UMNO dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), terimbas semantik halus sedang cuba disampaikannya kepada DAP.

Apakah semantik itu?

Ya, DAP jauh lebih dominan berbanding PKR dan Amanah. Oleh sebab itu, DAP sudah boleh berkira-kira meninggalkan PH yang diibaratkannya bukan pemain utama dalam sayembara poker!

Jangan sangka Nur Jazlan ‘mabuk’. Tidak!

Jika ada yang menganggap Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara itu ‘mengigau’ atau pening, orang itu silap besar.

Nur Jazlan berada pada tahap kecergasan yang tinggi.

Ibarat ejen rahsia pertubuhan tertentu yang diberi kepercayaan oleh ‘majikannya’ untuk menghancurkan ‘musuh’, dia bersedia dari segi fizikal, mental, dan emosi!

Siapakah ‘majikannya’ itu?

Saya percaya dan berharap, yang berada di belakang Nur Jazlan dan memantau tugas sulitnya ini bukannya UMNO pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sekiranya sangkaan dan harapan saya tersasar, saya boleh katakan itu sangat malang dan sangat tidak bagus kepada Kerajaan Perpaduan jika DAP termakan umpan!

Sungguhpun begitu hakikatnya ialah ada pihak lain kelihatan ekstrem; terdesak mahu memusnahkan PH dengan cara menarik DAP secara halus meninggalkan PKR dan Amanah.

Kerana DAP disinonimkan dengan bangsa Cina walaupun ramai politikus parti itu kini orang Melayu, ‘pemujukan’ Nur Jazlan dilakukan mengikut paksi hobi bermain poker!

Dengan berbuat begitu, Nur Jazlan seolah-olah mahu dilihat mesra DAP; serasi budaya dan berlaku rentas minat dan wujud kesepunyaan dalam menguasai politik negara.

Sifirnya jelas, iaitu jika DAP yang mempunyai 42 kerusi Parlimen berjaya ditarik keluar daripada PH, pada pemikiran golongan ekstrem itu, landskap pentadbiran negara akan berubah yang turut mungkin menyebabkan berpecahnya Perikatan Nasional (PN).

Bagi mereka, biar DAP menggantikan Pas, asalkan PKR dan Amanah ‘diterajang’ dan yang lebih penting Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) selaku Perdana Menteri Kesepuluh (PMX) dapat diturunkan dari tampuk kekuasaan.

Sekarang adakah anda nampak percaturan puak esktrem yang sehingga kini masih bertopeng dan belum kelihatan wajar sebenarnya tapi dapat ditanggapi kelibatnya?

Oleh sebab itu, sekali lagi ditegaskan, perihal bermain poker bukanlah isu utama dalam sigungan dan sikuan Nur Jazlan.

Ada agenda yang lebih besar daripada itu sedang cuba dilakukannya.

Ibarat menumbangkan balak, meracuni banirnya lebih baik ketimbang menggunakan gergaji mesin kerana cara itu tidak didengari Jabatan Perhutanan.

Cuma satu masalah yang sedang dihadapi Nur Jazlan – DAP bukanlah parti yang bangkrap dan mudah tertelan umpan politik sedemikian.

Nur Jazlan, kalau ini berlaku dalam bola sepak, pola permainan pasukan kamu sudah dapat dibaca.

Insya-Allah kamu akan pulang dengan tangan kosong!

Related Posts

Perlu dibaca

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat