
KLUANG – Seawal jam 7 pagi, kedai kopi di tepi landasan kereta api atau lebih dikenali sebagai Kluang Rail Coffee yang berusia lebih 87 tahun di Jalan Station di sini sudah dipenuhi orang ramai untuk bersarapan.
Istimewanya, kedai kopi itu menjadi tumpuan pelanggan daripada pelbagai kaum khususnya Melayu, Cina dan India yang makan, minum dan berbual bersama sekali gus menghidupkan semangat perpaduan yang kuat.
Mana tidaknya, melihat masyarakat pelbagai kaum dan lapisan peringkat umur minum dan berbual bersama di sebuah meja di kedai tersebut sudah menjadi perkara biasa,
Di Johor, tidak keterlaluan untuk dikatakan kedai berkenaan menjadi simbol perpaduan dengan berkumpulnya semua kaum di situ dan suasana seperti itu sudah berlaku sejak sekian lama.

Uniknya lagi, selain keenakan rasa kopinya dengan bun kaya bersama mentega, kedai berkenaan juga menyajikan makanan tradisi pelbagai kaum di situ seperti nasi lemak, mi wantan, laksa johor, mi kari dan pelbagai lagi.
Pengurus kopitiam, Lim Ben Winn berkata, konsep berkenaan dipertahankan bagi menzahirkan rasa cinta pada tanah air dengan mengekalkan kedai lama yang bercirikan tradisional tanpa dekorasi indah, di samping menawarkan keaslian menu zaman dahulu.
Menurut beliau, kedainya yang sudah beroperasi dari 1938 itu menerima pelanggan daripada pelbagai kaum malah ada juga yang datang dari negeri lain dan mereka tidak kisah duduk semeja walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

“Kluang Rail Coffee merupakan apa yang kami suka digelar sebagai ‘rail born’ dan betul-betul kopitiam Malaysia yang sejati.
“Kedai kami merupakan tempat yang menghimpunkan ramai rakyat Malaysia bersama-sama dengan begitu banyak kisah sejak 84 tahun lalu sambil minum secawan kopi.
“Bukan sekadar minuman atau makanan, tetapi ia juga memberi pengalaman dan ikatan yang dicipta dalam kalangan pelanggan kami,” katanya ketika ditemui di kedainya, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ben Winn yang merupakan generasi keempat pemilik kopitiam tersebut berkata, konsep nostalgia masih dikekalkan dari segi makanan, struktur kedai dan kerusi meja yang digunakan sejak dulu lagi.

“Zaman perang dahulu, British bangunkan satu bandar dan di situlah terletaknya pejabat pos, stesen kereta api. Apa saja yang berkaitan dengan komunikasi dan pengangkutan, ia berhampiran sesama sendiri.
“Apabila moyang saya buka kantin, pelanggan bukan saja askar, tetapi dari pelbagai latar belakang. Menu yang disukai masih sama seperti dahulu iaitu roti bakar, kopi, telur separuh masak, teh, nasi lemak.
“Walaupun ada berhasrat untuk mengikut peredaran zaman, namun tarikannya masih sama kerana pengunjung mahukan menu klasik yang mudah dimakan,” katanya.

Sementara itu, Ben Winn yang mempunyai latar pendidikan dalam pengurusan perniagaan mempercayai cabaran yang terbesar adalah keupayaan untuk kekal relevan, selain keperluan mengikuti trend semasa tanpa menghilangkan identiti sedia ada.
“Ada banyak kedai yang menggunakan nama yang lebih kurang sama, namun kami percaya perkara ini tak salah dan menghormati tindakan mereka.
“Kami masih belajar untuk terus mengembangkan lagi perniagaan dan kekal relevan agar dilihat lebih eksklusif dan sedia berubah agar tidak ketinggalan, selari dengan kehendak pelanggan,” katanya.





