Kerajaan, rakyat Sabah bangga pencapaian semasa UMS bantu jana transformasi pembangunan negeri

KOTA KINABALU – Kerajaan dan rakyat Sabah amat bangga dengan pencapaian semasa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah membantu menjana transformasi pembangunan di negeri ini dalam pelbagai aspek, selain menjadi pusat rujukan terutamanya di Sabah.

Demikian ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 kali ke-30 UMS di Dewan Canselor universiti itu pada Selasa.

Beliau yang juga Pro Canselor UMS mahu universiti itu terus mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk negara dan negeri Sabah.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada UMS dalam membantu usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara, sesuai dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan selain sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi negeri ini.

“Justeru, pihak institusi pengajian tinggi termasuk UMS digalakkan untuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi,” katanya. 

Menurut Hajiji, kerajaan sentiasa peka dengan keperluan dan rintihan pelajar. 

Katanya, seramai 121,897 pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan pendidikan Yayasan Sabah (YS) melibatkan perbelanjaan berjumlah RM868 juta sejak tahun 1967 hingga Jun 2024. 

“Buat julung kalinya kerajaan telah memberi bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi Graduan Rindu Sabah berjumlah RM600 seorang kepada semua pelajar Sabah yang belajar di universiti awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan pada bulan Mac lalu dengan peruntukan lebih RM10 juta.

“Pada tahun 2023 kerajaan telah menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM55 juta kepada RM101 juta,” katanya. 

Tambah Hajiji, Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS)-inisiatif baharu telah dilancarkan di bawah Hala Tuju SMJ dalam memperkasakan serta memudahkan penyaluran bantuan kepada anak Sabah terutama pada peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.

“Ini adalah sebahagian dari inisiatif dan bantuan yang telah dirancang dan dilaksana oleh kerajaan negeri bagi membangunkan modal insan di negeri ini melalui pelan pembangunan Hala Tuju SMJ. 

“Banyak lagi inisiatif, bantuan dan program yang telah dirancang bagi meningkatkan,” katanya. 

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor. 

Selepas itu, Hajiji turut menyaksikan Majlis Menandatangani antara Memorandum Persefahaman UMS dan Switch Apple Premium Partner. 

Related Posts

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memperkukuh tatakelola institusi berkenaan serta memastikan amanah umat Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

AYER KEROH – Kestabilan politik perlu terus dipelihara bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi negara, terutama ketika Malaysia berdepan ketidaktentuan geopolitik global, kata bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua. Beliau berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak